HAMASAH DAN THAQOFAH, DI MANA PERKAITANNYA?
Teks ceramah
individu.
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh
إنَّ
الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ
بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ
اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ ،َأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ
إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ
وَرَسُوْلُهُ.، أَمَّا بَعْدُ
Segala puji kita panjatkan kehadrat
Allah SWT atas segala nikmatnya yang telah diberikan kepada kita semua. Nikmat
sehat, nikmat taufik hidayah inayah, dan nikmat yang paling besar adalah nikmat
Iman & Islam. Alhamdulillah. Pertamanya, ingin saya ucapkan ribuan terima
kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya memberi ceramah pada hari
ini. Seterusnya, terima kasih kepada hadirin hadirat yang dirahmati Allah
sekalian atas kesudian untuk menghadirkan diri dalam majlis ilmu ini. Tahniah
beribu tahniah saya ucapkan kepada anda atas kehadiran anda pada hari ini,
sesungguhnya kalian adalah insan terpilih yang telah digerakkan oleh Allah hati-hati
kalian untuk bersama-sama pada hari ini. Berapa ramai diluar sana yang lalai
dengan kenikmatan dunia yang sementara? Berapa ramai diluar sana yang tak
tergerak sedikit pun untuk duduk dalam majlis sebegini? Berapa ramai di luar
sana yang masih lena dibuai mimpi indah dalam selimut keduniaan? Tetapi
Alhamdulillah, Allah beri hidayah kepada kita untuk sama-sama berdiskusi dan
bersama-sama berkongsi ilmu dalam majlis yang penuh dengan barakah ini. In Shaa
Allah. Sungguh, nikmat iman dan islam itu merupakan nikmat terbesar yang kita
peroleh. Alhamdulillah.
Saudara saudari yang dikasihi
Allah sekalian,
Saya dimaklumkan oleh pihak
penganjur bahawa audians pada hari ini majoritinya mengambil Pengajian Islam
Dakwah. Terasa kerdil diri ini apabila berhadapan dengan jiwa-jiwa yang hebat.
Jiwa-jiwa yang punya misi ummatik dalam diri mereka. Semoga Allah menjauhkan
kita daripada menjadi hamba-hambaNya yang lalai dengan kenikmatan dunia. Saya
mengambil masa yang agak lama untuk memikirkan tajuk yang sesuai untuk saya
bawa dan sampaikan kepada kalian. Seringkali kita mendengar ungkapan ‘jalan
dakwah tidak terbentang dengan karpet merah’, namun sejauh mana kita memahami
ungkapan ini sebagai seorang pendakwah? Alhamdulillah Allah ilhamkan kepada
saya untuk membawa tajuk, ‘ Hamasah dan Thaqofah, di Mana Perkaitannya?’
Tiga perkara yang akan saya perincikan pada hari ini adalah yang pertama, apa
yang dimaksudkan dengan hamasah dan thaqofah. Yang kedua, dimana perkaitannya
dan dimana kepentingannya dan yang terakhir adalah bagaimana untuk kita terus
istiqomah diatas jalan dakwah.
Saudara saudari yang saya hormati
sekalian,
Apa yang dimaksudkan dengan
hamasah? Apa pula yang dimaksudkan dengan Thaqofah? Dua perkataan yang saling
berkait, saling bersandaran dan saling memerlukan. Hilang satu, tempanglah yang
satu lagi. Hamasah bermaksud semangat dalam diri yang mendorong kita untuk
terus melakukan sesuatu perkara walau ditimpa pelbagai halangan dan
dugaan. Sifat ini ada dalam diri setiap
daripada kita, terutamanya bagi orang muda seperti kita. Untuk pengetahuan
saudara saudari, dalam diri orang muda ada satu sifat istimewa iaitu sifat
‘gila’. Apabila melakukan sesuatu, orang muda mempunyai semangat gila-gila yang
sangat tinggi. Sebab itulah jika kita perhatikan sekarang, kebanyakan masalah
social adalah daripada orang muda kerana rasa ingin mencuba sesuatu yang baru
itu sangat tinggi. Yang menjadi kayu ukurnya adalah, kemana kegilaan itu
disalurkan dan bagaimana kegilaan itu digunakan untuk perkara-perkara yang baik.
Hamasah yang ingin saya tekankan
pada hadirin adalah hamasah syabab, semangat seorang pemuda dalam melakukan dan
meneruskan jalan perjuangan dakwah. Maka hamasah ini perlu didasari dengan
keimanan dan ketaqwaan yang tinggi kepada Sang Pencipta, Allah s.w.t. Kerana
tanpa dasar yang kuat, maka lemahlah jiwa dan mudahlah untuk kita tergolong
dalam golongan yang tercicir di jalan dakwah. Jika kita telusuri
sejarah-sejarah kegemilangan islam satu masa dahulu, kita akan bertemu dengan
tokoh-tokoh pemuda yang meletakkan diri mereka sebagai pendokong agama.
Syahidnya mereka kerana memperjuangkan keagungan islam, menyebarkan islam
kepada ummat manusia. Contohnya seperti
Salahuddin Al-Ayubi, Umar bin Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al-Fateh. Sungguh,
tanpa hamasah yang utuh seperti tokoh-tokoh islam yang sebutkan tadi, mana
mungkin islam dapat diangkat tinggi. Sejauh mana kita sebagai seorang pemuda
mempunyai himmah yang tinggi dalam memartabatkan islam untuk mendorong hamasah
terus membara dalam diri.
Sidang Hadirin yang saya hormati
sekalian,
Apa pula yang dimaksudkan dengan
thaqofah? Thaqofah bermaksud ilmu
pengetahuan. Ilmu lah yang mengawal akal kita seterusnya mengawal setiap
perbuatan kita. Apabila seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi
tentang islam, maka akan lahirlah kefahaman. Kejahilan adalah halangan dan
hijab yang menghalang kefahaman kita terhadap diri dan alam. Halangan ini bukan
sahaja membina tembok kefahaman, tetapi juga menimbulkan masalah dalam
komunikasi dan perhubungan dengan masyarakat. Sedangkan kita diberi amanah oleh
Allah untuk menjadi khalifah dimuka bumi, untuk memakmurkan dan mengimarahkan
bumi ini. Manusia yang dikehendaki islam adalah manusia yang maju, yang
menguasai ilmu sebagai amanah Allah. Bukanlah manusia yang dikuasai oleh
persekitarannya atau oleh nature dan tabi’i yang melingkunginya. Kekuatan yang
dilengkapkan oleh Allah untuk manusia adalah ketinggian dan kemajuan ilmunya.
Saudara Saudari yang dirahmati
Allah sekalian,
Kita masuk kepada isi yang kedua, antara hamasah dan thaqofah,
dimana perkaitannya dan dimana kepentingannya? Saya petik kata-kata Imam Hassan
Al-Banna, “Tanggungjawab itu lebih banyak dari masa yang ada” Hidup sebagai
seorang manusia, kita diberi oleh Allah masa yang sama panjangnya, 24 jam sehari.
Tiada orang yang hanya mempunyai 10 jam sehari dan tidak ada orang yang
mempunyai 30 jam sehari. Kita semua sama namun, bagaimana seseorang itu boleh
melakukan banyak perkara dalam satu hari, sedangkan ada pula yang merungut
tidak cukup masa untuk menyiapkan tugasan. Disini, perlu kita koreksi semula,
kemana masa kita dihabiskan dan sejauh mana keberkatan masa itu kita peroleh.
Sungguh, jika kita hanya menunggu masa yang lapang takkan dapat untuk kita
melaksanakan tanggungjawab yang telah Allah letak di atas bahu-bahu kita. Hamba
dan Khalifah. Kadang kita rasa tugasan kita sekarang hanya sebagai seorang
pelajar yang perlu menuntut ilmu. Namun sedar tak sedar, berapa ramai di luar
sana yang menanti ajakan, tarikan, dorongan daripada kita untuk berjalan seiring
menuju syurga Allah. Masa itu perlu di susun, agar keberkatannya ada, agar kita
tidak menjadi insan yang hanya memperbaiki diri, menambah kebaikan diri tetapi
juga sempat turun kelapangan untuk menarik tangan-tangan yang sudah lama tunggu
disambut.
Kerja dakwah sangat memerlukan
keikhlasan hati yang tinggi kerana kerja-kerja ini bukanlah kerja yang mudah. Saya
petik kata-kata Mustafa Masyhur dalam buku nya, Bekalan di sepanjang perjalanan
dakwah:
“ Di atas jalan dakwah kita
memerlukan ilmu yang bermanfaat, yang perlu untuk sahibuddakwah, penyeru ke
jalan Allah di atas hujah yang nyata. Tidaklah mencukupi dengan hanya membaca
kitab dengan banyaknya, tanpa disertai dengan taqwa kepada Allah dan niat yang
ikhlas kerana Allah, kelak Allah akan menambah kurniaan ilmu, nur, cahaya, dan
taufiqNya.”
Firman Allah dalam surah
Al-baqarah, ayat 282 mafhumnya:
“ Dan bertaqwalah kamu kepada
Allah kerana Allah mengajar kamu dan Allah mengetahui segala sesuatu”
Sesuatu gerakan dakwah tak akan berjaya jika
tenteranya hanya mempunyai hamasah yang tinggi namun tiada thaqofahnya. Hari
ini, ramai dikalangan kita yang menjadi penyokong agama tetapi tak ramai yang
sanggup untuk menjadi pendokong agama. Ramai yang melaungkan islam, tetapi
disebalik laungan itu berapa ramai yang benar-benar mengorak langkah untuk
mengambil tindakan? Inilah yang terjadi bilamana kita mempunyai hamasah, tetapi
tiada thaqofah. Tiada kefahaman dalam perjuangan. Sesungguhnya, semangat yang
terpandu dengan kefahaman, akhirnya akan menemui keikhlasan. Namun semangat
yang tidak terpandu dengan kefahaman, akhirnya hanya menemui kejahilan,
kekufuran dan kefuturan.
Saudara saudari yang dirahmati
Allah sekalian,
Tidak ada futur sekiranya kita
mempunyai maknawi yang tinggi. Kita semua tahu kewajipan untuk menyampaikan
amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi yang kurang dalam diri kita sekarang adalah
ilmu yang tinggi. Namun, masyarakat semakin hari semakin jauh daripada ruh
islam. Jika kita tidak ambil tindakan untuk meningkatkan kefahaman tentang
islam sekarang, maka selamanya kita akan menjadikan kurang ilmu itu sebagai
alasan untuk terus duduk melihat keadaan sekitar. Kita menanti orang untuk
mentarbiyah diri kita sedangkan tarbiyah itu perlu dicari dan diusahakan. Sebab
itu hadirin sekalian, atas kesedaran tanggungjawab ini perbaikilah diri,
tingkatkan kefahaman diri dan bertebaran lah turun ke lapangan. Sampai bila
kita harus tunggu? Tunggu masa yang menentukan sedangkan sebenarnya kitalah
yang menentukan. Usaha atau tidak yang membezakan kita. Banyakkan membaca
buku-buku haraki, buku-buku yang ditulis oleh ulama’ terkemuka agar seimbang
pengisian dan pemberian. Jangan bergerak dengan jiwa yang kosong, kelak di
tengah jalan kita akan tersadung. Mungkin bangkit semula untuk terus melangkah
atau bangkit semula hanya untuk mengaku kalah.
Saudara saudari yang dirahmati
Allah sekalian,
Saya masuk pula isi yang ketiga,
bagaimana untuk kita terus istiqomah dalam jalan dakwah. Istiqomah itu tak
mudah, sebab itulah kita memerlukan bekalan. Bekalan di sepanjang perjalanan
dakwah. Kenapa kita perlukan bekalan? Kerana jalan dakwah itu tak selalunya
indah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 214:
“ Apakah kamu sangka bahawa kamu
akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu keadaan seperti mereka yang
telah lalu terdahulu daripada kamu, mereka ditimpa malapetaka dan kesengseraan
serta digoncangkan (dengan berbagai cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan
orang-orang yang beriman bersamanya; bilakah datangnya pertolongan Allah?
Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”
Bekalan utama yang perlu bagi
seorang daie pastinya iman dan taqwa yang akan memancarkan segala kebaikan
dalam hati, menetapkan matlamat dan niat dalam diri, menambah keazaman dan
kemahuan seterusnya memudahkan gerakan langkah kita. Ujian yang datang
menyerabutkan fikiran namun kita masih mampu untuk tersenyum, redha dengan
pemberian Allah. Kerana pasti disetiap ketentuan Allah pasti tersimpan seribu
satu hikmah. Tinggal kita yang perlu cari.
Seterusnya, bekalan yang kita
perlu adalah merasai kehadiran Allah di setiap langkah. Apabila kita merasai
penyertaan Allah, kita tidak akan rasa kekurangan sedikit pun. Namun,
penyertaan Allah ini hanyalah diberikan kepada orang yang beriman, bertaqwa
serta beramal soleh. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 127-128:
“ Dan bersabarlah, dan tiadalah
kesabaranmu itu kecuali kerana Allah dan janganlah merasa dukacita ke atas
mereka dan janganlah kamu merasa susah dengan tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah
bersama dengan orang yang bertaqwa dan berbuat baik “
Seorang pendakwah sangat terdedah
dengan sifat malas, lemah semangat, lesu dan pelbagai lagi penyakit hati.
Namun, sikap para dai’e yang saling mengingati kearah kebaikan dan nasihat
menasihati mampu menghalang kita untuk terus futur. Kerana itulah ukhuwah
islamiyah juga sangat penting. Kita tak akan mampu sekiranya berseorangan dalam
perjalanan, oleh itu berkumpulan lah dan berjemaahlah agar kita punya kesatuan
hati yang teguh untuk terus bangkit.
Saudara saudari yang dirahmati
Allah sekalian,
Ceramah saya sudah hampir ke
penghujungnya. Semoga perkongsian ini menjadi titik bermulanya perjuangan
kalian. Hamasah dan thaqofah perlu seiring, agar islam dapat terus meluas
menentang arus dunia yang semakin parah. Bertebaranlah kalian namun jangan
biarkan tanpa ikatan. Wallahua’lam.
Wabilahi taufiq wal hidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
RUJUKAN
1. Bekalan di Dalam Perjalanan Dakwah, Mustafa Masyhur, 1985,
Pustaka Salam
2. Pesan Hati Untuk Hati, Pahrol Muhammad Juoi, 2014, Telaga Biru
Sdn. Bhd.
3. Hadis 40 Imam Nawawi, Zahzan Mohamed, 2011,Telaga Biru Sdn. Bhd.
4. Di Bawah Naungan Islam, Mohd Nakhaie Ahmad, 1998, Percetakan
Yayasan Islam Terengganu.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment