Kemana Pengakhiran kita?
“ Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah
ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan
yang sebenar-benarnya. Kalaulah mereka mengetahui.”
( Surah al-Ankabut : 64 )
Allah menerangkan di dalam kalamnya bahawa dunia ini ibarat
permainan, ibarat hiburan yang pastinya sementara dan akhirat sana adalah
kehidupan kita yang sebenar-benarnya. Di akhir ayat, Allah menyebut, kalaulah
mereka mengetahui. Ayat ini menunjukkan betapa hakikatnya manusia itu tahu
namun seringkali terlupa hanya kerana kenikmatan dunia yang sementara dirasakan
seolah-olah selamanya. Bermulanya kita pasti ada pengakhirannya, sama ada
pengakhiran yang baik atau pengakhiran yang buruk? Jika bermulanya kita tanpa
memikirkan dan merancang pengakiran kita, adakah kita yakin pengakhiran yang
baik yang akan kita temui nanti? Yakinkah kita syurga yang menanti kita di
akhirat nanti?
Syurga dipagari dengan perkara yang tidak disukai, manakala neraka
dipagari dengan keseronokan syahwat. Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata
:
“ Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka
sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus
kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan
itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal”
Saidina Ali menyebut bahawa kebaikan yang kita lakukan akan terus
kekal sama ada manfaatnya kepada orang lain akan kekal dan pahalanya akan kekal
sehingga diakhirat kelak.
Saya bawakan satu kisah yang berlaku ketika perang Qadisiyah. Sa’ad
bin Abi Waqqas memerintahkan Rabi’ bin Amir untuk menghadap Rustum, panglima
perang Parsi. Rustum bertanya kepada Rabi’ tentang tujuan kedatangan pasukan
Islam ke negaranya. Dengan lantang Rabi’ menjawab, “Kami datang untuk
membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan
kepada Allah. Kami ingin membebaskan manusia dari dunia yang sempit menuju
akhirat yang luas serta daripada kezaliman kepada Islam”.
Namun, realiti sekarang menunjukkan walaupun kita tidak ditawan
oleh pemerintah yang zalim, tetapi kita telah ditawan oleh kecintaan dunia dan
penghambaan kepada dunia. Kita terperangkap dalam kesesakan dunia yang memaksa
untuk meninggalkan dan memikirkan kenikmatan apa yang akan kita peroleh di
akhir nanti. Umat sendiri semakin alpa dengan kenikmatan dunia yang sementara
sehingga melupakan kenikmatan syurga yang kekal abadi.
Mengapa Perlu Merancang Pengakhiran?
Kita hakikatnya warganegara akhirat, bukan dunia. Kerana dunia
diciptakan untuk manusia tetapi manusia diciptakan untuk akhirat. Kehidupan di
akhirat adalah kehidupan yang hakiki dan abadi. Sedarlah bahawa kita mempunyai
kehidupan yang pertama dan kehidupan yang kedua. Kehidupan yang pertama adalah
di dunia manakala kehidupan kedua adalah di akhirat sana. Bagaimana kita hanya
mementingkan kenikmatan dalam kehidupan pertama dan lupa untuk merancang dan
memikirkan kehidupan yang kedua?
Dunia ibarat jambatan yang menuju samada ke syurga ataupun neraka.
Kehidupan pula ibarat perjalanan kita diatas jambatan tersebut. Setiap langkah
yang kita lakukan dalam perjalanan yang tiada henti ini, semaki kita mendekati
destinasi terakhir. Namun kita tidak diberi pengetahuan sampai bila kaki kita
akan terus melangkah. Setiap manusia Allah tetapkan garis penamatnya, garis
penamat yang kita tidak tahu dimana. Apabila kita berada dalam perjalanan,
pastinya dihujung menenati destinasi yang ingin kita tuju. Namun yakinkah kita
destinasi itu adalah syurga bukan neraka? Jika tiada bekalan yang disediakan
daripada sekarang, bagaimana destinasi kita kelak? Yang menjadi kayu ukurnya
adalah keimanan dalam hati dan amalan bagi setiap anggota kita.
Kerana itulah, dunia ini tempat untuk kita banyak-banyak mengumpul
pahala dan melakukan amal soleh. Manakala mereka yang tidak yakin adanya hari
kebangkitan akan mensia-siakan masa yang ada dengan melakukan berbagai
kemaksiatan kepada Allah. Dunia yang asalnya tempat untuk mengumpul bekalan
pahala, dijadikan tempat untuk menjana seberapa banyak dosa. Na’uzubillah,
semoga kita dijauhkan daripada mereka yang mensia-siakan kehidupan.
Ibaratnya seperti kita ingin melancong ke luar Negara. Pasti kita
akan membawa barang keperluan secukupnya sebagai persediaan ke sana. Sekiranya
kita tahu disana sedang menghadapi musim sejuk, maka kita akan bersedia dengan
baju sejuk. Sekiranya kita tahu mata wang di sana menggunakan mata wang dollar,
kita akan membuat persediaan awal untuk menukar dahulu wang tempatan sebelum
sampai kesana. Begitulah ibaratnya kehidupan di dunia yang hanya sebagai tempat
persinggahan sebentar, tempat lawatan sebentar. Pakaiannya adalah taqwa dan
mata wangnya adalah pahala. Firman Allah dalam surah Al-Dhuha, ayat 4:
“ Dan akhirat itu
lebih baik bagimu (wahai Muhammad) daripada dunia”
Hakikatnya, semua agama percaya kepada kehidupan akhirat atau
kebangkitan semula. Agama Hindhu percaya bahawa mereka perlu mencapai mokhsha
untuk keluar daripada dunia dan mendapat kenikmatan kemudian, agama Buddha pula
percaya bahawa mereka perlu mencapai nirvana sebagai penyatuan dengan Tuhan
mereka. Begitu juga agama Nasrani dan Yahudi, mereka juga mempercayai kehidupan
di akhirat. Mengapa ini semua berlaku? Kerana fitrah manusia inginkan keadilan
yang mutlak namun keadilan ini tiada di dunia. Seringkali yang salah di pandang
baik dan yang betul di pandang buruk.
Jika kita telusuri sejarah dahulu, kita dapat lihat peristiwa-peristiwa yang
tragis berlaku tanpa keadilan. Berapa ramai manusia yang telah ditindas namun
tiada pembelaan terhadap mereka? Berapa ramai umat islam, tokoh-tokoh ilmuwan
islam yang telah dibunuh dengan kejam oleh orang kafir namun tiada penghukuman
dikenakan keatas mereka?
Atas sebab ini, manusia tidak puas dengan hakikat kejadian yang
berlaku seterusnya mengharapkan kehidupan kedua yang membawa keadilan yang
sebenarnya. Timbul pelbagai persoalan dalam minda manusia, mengapa Allah tak
menegakkan keadilan di dunia? Mengapa orang yang mungkar tidak mendapat
pembalasan yang segera? Mengapa orang yang baik tidak mendapat ganjaran segera?
Mengapa perlunya segala penangguhan ini? Namun sebagai seorang hamba, siapa
kita ingin mempersoalkan segala ketentuan Allah. Mungkin bagi kepercayaan lain,
mereka sungguh-sungguh merasai semua yang berlaku tidak sepatutnya berlaku,
tetapi bagi kita umat islam kita yakin bahawa setiap yang berlaku terselindung
seribu satu hikmah. Kehidupan kita bukan untuk di dunia semata, tetapi untuk
diakhirat sana. Firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 42-43:
“ Dan janganlah engkau menyangka bahawa Allah lalai daripada
perbuatan orang yang zalim, mereka Cuma ditakhirkan (diberi penangguhan) sampai
kepada hari yang padanya terbeliak kaku pandangan mereka. Mereka terburu-buru
sambil mendongak kepala mereka dengan mata yang tak berkelip dan hati mereka
kosong”
Korbankan Kenikmatan Sementara
Apabila kita yakin pembalasan Allah akan datang di akhirat nanti,
kita akan terdorong untuk terus melakukan kebaikan walau dibenci, ditindas diatas
dunia yang sementara ini. Untuk kenikmatan yang kekal abadi, kita sanggup
korbankan kenikmatan yang sementara. Firman
Allah dalam surah Al-Muzammil, ayat 20:
“ Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu
memperoleh (balasannya) di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang
paling besar pahalanya”
Kehidupan di dunia kadang kala memaksa kita untuk melakukan
kemungkaran kepada Allah. Pengaruh buruk yang semakin berlelusa, penindasan
yang dilakukan keatas orang yang berkata benar dan banyak lagi. Namun sekiranya
kita yakin ada ganjaran dan habuan yang akan kita peroleh di akhirat nanti,
kita akan dapat meninggalkan pandangan manusia di dunia dan hanya mementingkan
pandangan Allah. Daripada Ibnu Umar r.a. beliau berkata, bahawa Rasulullah
memegang belakang beliau lalu bersabda:
“Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau
pengembara”. Lalu Ibnu Umar r.a. berkata : “Jika engkau telah berada di waktu
petang, maka janganlah dinantikan waktu pagi. Jika enkau berada di waktu pagi,
maka janganlah dinantikan waktu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum
sakit dan waktu hidupmu sebelum mati”
( Riwayat Al-Bukhari no. 6416 dan Al-Tarmizi no. 2333)
Hadis ini mencakupi pelbagai jenis kebaikan dan nasihat. Kandungan
hadis ini sebagai tapak untuk tidak terlena di dunia kerana setiap muslim tidak
sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang kekal abadi. Imam
Abdul Hasan ‘Ali bin Khalaf dalam Syarah Bukhari berkata bahawa Abu Zinad
berkata: “ Hadis ini bermakna menganjurkan agar sedikit bergaul dan sedikit
berkumpul dengan orang-orang awam serta bersikap zuhud kepada dunia”.
Gunakanlah kesempatan hidup ini untuk berbakti kepada Allah. Biar banyak
rintangannya, jerih payahnya, kerana syurga itu mahal dan perlukan kesungguhan
untuk mendapatkannya.
Tanda-tanda Menjadi Hamba Dunia
Tanpa kita sedar, kadang-kala kita telahpun menjadi hamba kepada
dunia. Tingkah laku kita seharianlah yang menjadi bukti perhambaan kita. Kerana
yang menjadi perbezaan kita adalah taqwa dan keimanan dalam hati. Taqwa dan
imanlah yang akan mempengaruhi segala perilaku kita, segala gerak hati kita.
Antara tanda-tanda kita sudah menjadi hamba kepada dunia adalah:
1. Kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak ada masa
untuk membuka helaian al-Quran dan mentadabbur ayat-ayat cinta Allah.
2. Hilang rasa bersalah sekiranya kita melakukan dosa-dosa kecil.
Terlalu memikirkan dosa sehingga kita lupa bahawa matlamat hidup ini adalah
untuk mencapai redha Allah, tak kiralah dosan kecil atau dosa besar.
3. Yakin bahwa mati dan kiamat masih lambat dan masih punya banyak
masa untuk bertaubat. Kita terlalu sibuk memikirkan tanda-tanda kiamat sehingga
terlalu yakin bahawa selagi tanda-tanda ini belum tiba, nyawa kita masih
panjang. Taubat ditangguh-tangguh.
4. Solat yang tergesa-gesa untuk segera melakukan urusan dunia.
Menganggap solat itu hanya pergerakan solat, bukan pertemuan dengan Allah.
Sedang orang yang beriman akan rasa tidak sabar-sabar untuk bertemu dan
berdialog dengan kekasih hati di dalam solat.
Dunia umpama tempat membayar, akhirat umpama tempat berseronok.
Sesungguhnya nikmat dunia tidak akan tercapai akal dan imaginasi, kata-kata
atau apa sahaja yang dapat dijangkau oleh pancaindera manusia. Syurga lebih
indah dan nikmat daripada apa yang boleh kita bayangkan. Oleh sebab itu, mereka
yang benar-benar meyakini dan menginginkannya dan memandang ringan penderitaan
dunia demi meraihnya. Kemanakah pengakhiran kita? Kita yang memilih dan kita
jugalah yang mampu berfikir mana yang terbaik untuk kita kejar, syurga atau
neraka.
Wallahua’lam.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment