PENGHARAP REDHA NYA
Semoga segala yang tercatat memberi manfaat.
Coretan dari hati untuk hati



Teks ceramah individu.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
إنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ  فَلاَ هَادِيَ لَهُ ،َأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.، أَمَّا بَعْدُ
Segala puji kita panjatkan kehadrat Allah SWT atas segala nikmatnya yang telah diberikan kepada kita semua. Nikmat sehat, nikmat taufik hidayah inayah, dan nikmat yang paling besar adalah nikmat Iman & Islam. Alhamdulillah. Pertamanya, ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya memberi ceramah pada hari ini. Seterusnya, terima kasih kepada hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian atas kesudian untuk menghadirkan diri dalam majlis ilmu ini. Tahniah beribu tahniah saya ucapkan kepada anda atas kehadiran anda pada hari ini, sesungguhnya kalian adalah insan terpilih yang telah digerakkan oleh Allah hati-hati kalian untuk bersama-sama pada hari ini. Berapa ramai diluar sana yang lalai dengan kenikmatan dunia yang sementara? Berapa ramai diluar sana yang tak tergerak sedikit pun untuk duduk dalam majlis sebegini? Berapa ramai di luar sana yang masih lena dibuai mimpi indah dalam selimut keduniaan? Tetapi Alhamdulillah, Allah beri hidayah kepada kita untuk sama-sama berdiskusi dan bersama-sama berkongsi ilmu dalam majlis yang penuh dengan barakah ini. In Shaa Allah. Sungguh, nikmat iman dan islam itu merupakan nikmat terbesar yang kita peroleh. Alhamdulillah.
Saudara saudari yang dikasihi Allah sekalian,
Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa audians pada hari ini majoritinya mengambil Pengajian Islam Dakwah. Terasa kerdil diri ini apabila berhadapan dengan jiwa-jiwa yang hebat. Jiwa-jiwa yang punya misi ummatik dalam diri mereka. Semoga Allah menjauhkan kita daripada menjadi hamba-hambaNya yang lalai dengan kenikmatan dunia. Saya mengambil masa yang agak lama untuk memikirkan tajuk yang sesuai untuk saya bawa dan sampaikan kepada kalian. Seringkali kita mendengar ungkapan ‘jalan dakwah tidak terbentang dengan karpet merah’, namun sejauh mana kita memahami ungkapan ini sebagai seorang pendakwah? Alhamdulillah Allah ilhamkan kepada saya untuk membawa tajuk, ‘ Hamasah dan Thaqofah, di Mana Perkaitannya?’ Tiga perkara yang akan saya perincikan pada hari ini adalah yang pertama, apa yang dimaksudkan dengan hamasah dan thaqofah. Yang kedua, dimana perkaitannya dan dimana kepentingannya dan yang terakhir adalah bagaimana untuk kita terus istiqomah diatas jalan dakwah.
Saudara saudari yang saya hormati sekalian,
Apa yang dimaksudkan dengan hamasah? Apa pula yang dimaksudkan dengan Thaqofah? Dua perkataan yang saling berkait, saling bersandaran dan saling memerlukan. Hilang satu, tempanglah yang satu lagi. Hamasah bermaksud semangat dalam diri yang mendorong kita untuk terus melakukan sesuatu perkara walau ditimpa pelbagai halangan dan dugaan.  Sifat ini ada dalam diri setiap daripada kita, terutamanya bagi orang muda seperti kita. Untuk pengetahuan saudara saudari, dalam diri orang muda ada satu sifat istimewa iaitu sifat ‘gila’. Apabila melakukan sesuatu, orang muda mempunyai semangat gila-gila yang sangat tinggi. Sebab itulah jika kita perhatikan sekarang, kebanyakan masalah social adalah daripada orang muda kerana rasa ingin mencuba sesuatu yang baru itu sangat tinggi. Yang menjadi kayu ukurnya adalah, kemana kegilaan itu disalurkan dan bagaimana kegilaan itu digunakan untuk perkara-perkara yang baik.
Hamasah yang ingin saya tekankan pada hadirin adalah hamasah syabab, semangat seorang pemuda dalam melakukan dan meneruskan jalan perjuangan dakwah. Maka hamasah ini perlu didasari dengan keimanan dan ketaqwaan yang tinggi kepada Sang Pencipta, Allah s.w.t. Kerana tanpa dasar yang kuat, maka lemahlah jiwa dan mudahlah untuk kita tergolong dalam golongan yang tercicir di jalan dakwah. Jika kita telusuri sejarah-sejarah kegemilangan islam satu masa dahulu, kita akan bertemu dengan tokoh-tokoh pemuda yang meletakkan diri mereka sebagai pendokong agama. Syahidnya mereka kerana memperjuangkan keagungan islam, menyebarkan islam kepada ummat manusia.  Contohnya seperti Salahuddin Al-Ayubi, Umar bin Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al-Fateh. Sungguh, tanpa hamasah yang utuh seperti tokoh-tokoh islam yang sebutkan tadi, mana mungkin islam dapat diangkat tinggi. Sejauh mana kita sebagai seorang pemuda mempunyai himmah yang tinggi dalam memartabatkan islam untuk mendorong hamasah terus membara dalam diri.

Sidang Hadirin yang saya hormati sekalian,
Apa pula yang dimaksudkan dengan thaqofah?  Thaqofah bermaksud ilmu pengetahuan. Ilmu lah yang mengawal akal kita seterusnya mengawal setiap perbuatan kita. Apabila seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi tentang islam, maka akan lahirlah kefahaman. Kejahilan adalah halangan dan hijab yang menghalang kefahaman kita terhadap diri dan alam. Halangan ini bukan sahaja membina tembok kefahaman, tetapi juga menimbulkan masalah dalam komunikasi dan perhubungan dengan masyarakat. Sedangkan kita diberi amanah oleh Allah untuk menjadi khalifah dimuka bumi, untuk memakmurkan dan mengimarahkan bumi ini. Manusia yang dikehendaki islam adalah manusia yang maju, yang menguasai ilmu sebagai amanah Allah. Bukanlah manusia yang dikuasai oleh persekitarannya atau oleh nature dan tabi’i yang melingkunginya. Kekuatan yang dilengkapkan oleh Allah untuk manusia adalah ketinggian dan kemajuan ilmunya.
Saudara Saudari yang dirahmati Allah sekalian,
Kita masuk kepada isi  yang kedua, antara hamasah dan thaqofah, dimana perkaitannya dan dimana kepentingannya? Saya petik kata-kata Imam Hassan Al-Banna, “Tanggungjawab itu lebih banyak dari masa yang ada” Hidup sebagai seorang manusia, kita diberi oleh Allah masa yang sama panjangnya, 24 jam sehari. Tiada orang yang hanya mempunyai 10 jam sehari dan tidak ada orang yang mempunyai 30 jam sehari. Kita semua sama namun, bagaimana seseorang itu boleh melakukan banyak perkara dalam satu hari, sedangkan ada pula yang merungut tidak cukup masa untuk menyiapkan tugasan. Disini, perlu kita koreksi semula, kemana masa kita dihabiskan dan sejauh mana keberkatan masa itu kita peroleh. Sungguh, jika kita hanya menunggu masa yang lapang takkan dapat untuk kita melaksanakan tanggungjawab yang telah Allah letak di atas bahu-bahu kita. Hamba dan Khalifah. Kadang kita rasa tugasan kita sekarang hanya sebagai seorang pelajar yang perlu menuntut ilmu. Namun sedar tak sedar, berapa ramai di luar sana yang menanti ajakan, tarikan, dorongan daripada kita untuk berjalan seiring menuju syurga Allah. Masa itu perlu di susun, agar keberkatannya ada, agar kita tidak menjadi insan yang hanya memperbaiki diri, menambah kebaikan diri tetapi juga sempat turun kelapangan untuk menarik tangan-tangan yang sudah lama tunggu disambut.
Kerja dakwah sangat memerlukan keikhlasan hati yang tinggi kerana kerja-kerja ini bukanlah kerja yang mudah. Saya petik kata-kata Mustafa Masyhur dalam buku nya, Bekalan di sepanjang perjalanan dakwah:
“ Di atas jalan dakwah kita memerlukan ilmu yang bermanfaat, yang perlu untuk sahibuddakwah, penyeru ke jalan Allah di atas hujah yang nyata. Tidaklah mencukupi dengan hanya membaca kitab dengan banyaknya, tanpa disertai dengan taqwa kepada Allah dan niat yang ikhlas kerana Allah, kelak Allah akan menambah kurniaan ilmu, nur, cahaya, dan taufiqNya.”
Firman Allah dalam surah Al-baqarah, ayat 282 mafhumnya:
“ Dan bertaqwalah kamu kepada Allah kerana Allah mengajar kamu dan Allah mengetahui segala sesuatu”
 Sesuatu gerakan dakwah tak akan berjaya jika tenteranya hanya mempunyai hamasah yang tinggi namun tiada thaqofahnya. Hari ini, ramai dikalangan kita yang menjadi penyokong agama tetapi tak ramai yang sanggup untuk menjadi pendokong agama. Ramai yang melaungkan islam, tetapi disebalik laungan itu berapa ramai yang benar-benar mengorak langkah untuk mengambil tindakan? Inilah yang terjadi bilamana kita mempunyai hamasah, tetapi tiada thaqofah. Tiada kefahaman dalam perjuangan. Sesungguhnya, semangat yang terpandu dengan kefahaman, akhirnya akan menemui keikhlasan. Namun semangat yang tidak terpandu dengan kefahaman, akhirnya hanya menemui kejahilan, kekufuran dan kefuturan.
Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian,
Tidak ada futur sekiranya kita mempunyai maknawi yang tinggi. Kita semua tahu kewajipan untuk menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi yang kurang dalam diri kita sekarang adalah ilmu yang tinggi. Namun, masyarakat semakin hari semakin jauh daripada ruh islam. Jika kita tidak ambil tindakan untuk meningkatkan kefahaman tentang islam sekarang, maka selamanya kita akan menjadikan kurang ilmu itu sebagai alasan untuk terus duduk melihat keadaan sekitar. Kita menanti orang untuk mentarbiyah diri kita sedangkan tarbiyah itu perlu dicari dan diusahakan. Sebab itu hadirin sekalian, atas kesedaran tanggungjawab ini perbaikilah diri, tingkatkan kefahaman diri dan bertebaran lah turun ke lapangan. Sampai bila kita harus tunggu? Tunggu masa yang menentukan sedangkan sebenarnya kitalah yang menentukan. Usaha atau tidak yang membezakan kita. Banyakkan membaca buku-buku haraki, buku-buku yang ditulis oleh ulama’ terkemuka agar seimbang pengisian dan pemberian. Jangan bergerak dengan jiwa yang kosong, kelak di tengah jalan kita akan tersadung. Mungkin bangkit semula untuk terus melangkah atau bangkit semula hanya untuk mengaku kalah.
Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian,
Saya masuk pula isi yang ketiga, bagaimana untuk kita terus istiqomah dalam jalan dakwah. Istiqomah itu tak mudah, sebab itulah kita memerlukan bekalan. Bekalan di sepanjang perjalanan dakwah. Kenapa kita perlukan bekalan? Kerana jalan dakwah itu tak selalunya indah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 214:
“ Apakah kamu sangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu keadaan seperti mereka yang telah lalu terdahulu daripada kamu, mereka ditimpa malapetaka dan kesengseraan serta digoncangkan (dengan berbagai cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya; bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”
Bekalan utama yang perlu bagi seorang daie pastinya iman dan taqwa yang akan memancarkan segala kebaikan dalam hati, menetapkan matlamat dan niat dalam diri, menambah keazaman dan kemahuan seterusnya memudahkan gerakan langkah kita. Ujian yang datang menyerabutkan fikiran namun kita masih mampu untuk tersenyum, redha dengan pemberian Allah. Kerana pasti disetiap ketentuan Allah pasti tersimpan seribu satu hikmah. Tinggal kita yang perlu cari.
Seterusnya, bekalan yang kita perlu adalah merasai kehadiran Allah di setiap langkah. Apabila kita merasai penyertaan Allah, kita tidak akan rasa kekurangan sedikit pun. Namun, penyertaan Allah ini hanyalah diberikan kepada orang yang beriman, bertaqwa serta beramal soleh. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 127-128:
“ Dan bersabarlah, dan tiadalah kesabaranmu itu kecuali kerana Allah dan janganlah merasa dukacita ke atas mereka dan janganlah kamu merasa susah dengan tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bertaqwa dan berbuat baik “
Seorang pendakwah sangat terdedah dengan sifat malas, lemah semangat, lesu dan pelbagai lagi penyakit hati. Namun, sikap para dai’e yang saling mengingati kearah kebaikan dan nasihat menasihati mampu menghalang kita untuk terus futur. Kerana itulah ukhuwah islamiyah juga sangat penting. Kita tak akan mampu sekiranya berseorangan dalam perjalanan, oleh itu berkumpulan lah dan berjemaahlah agar kita punya kesatuan hati yang teguh untuk terus bangkit.
Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian,
Ceramah saya sudah hampir ke penghujungnya. Semoga perkongsian ini menjadi titik bermulanya perjuangan kalian. Hamasah dan thaqofah perlu seiring, agar islam dapat terus meluas menentang arus dunia yang semakin parah. Bertebaranlah kalian namun jangan biarkan tanpa ikatan. Wallahua’lam.
Wabilahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


RUJUKAN
1. Bekalan di Dalam Perjalanan Dakwah, Mustafa Masyhur, 1985, Pustaka Salam
2. Pesan Hati Untuk Hati, Pahrol Muhammad Juoi, 2014, Telaga Biru Sdn. Bhd.
3. Hadis 40 Imam Nawawi, Zahzan Mohamed, 2011,Telaga Biru Sdn. Bhd.
4. Di Bawah Naungan Islam, Mohd Nakhaie Ahmad, 1998, Percetakan Yayasan Islam Terengganu.


HAMASAH DAN THAQOFAH, DI MANA PERKAITANNYA?



“ Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya. Kalaulah mereka mengetahui.”
 ( Surah al-Ankabut : 64 )

Allah menerangkan di dalam kalamnya bahawa dunia ini ibarat permainan, ibarat hiburan yang pastinya sementara dan akhirat sana adalah kehidupan kita yang sebenar-benarnya. Di akhir ayat, Allah menyebut, kalaulah mereka mengetahui. Ayat ini menunjukkan betapa hakikatnya manusia itu tahu namun seringkali terlupa hanya kerana kenikmatan dunia yang sementara dirasakan seolah-olah selamanya. Bermulanya kita pasti ada pengakhirannya, sama ada pengakhiran yang baik atau pengakhiran yang buruk? Jika bermulanya kita tanpa memikirkan dan merancang pengakiran kita, adakah kita yakin pengakhiran yang baik yang akan kita temui nanti? Yakinkah kita syurga yang menanti kita di akhirat nanti?

Syurga dipagari dengan perkara yang tidak disukai, manakala neraka dipagari dengan keseronokan syahwat. Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata :
“ Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal”

Saidina Ali menyebut bahawa kebaikan yang kita lakukan akan terus kekal sama ada manfaatnya kepada orang lain akan kekal dan pahalanya akan kekal sehingga diakhirat kelak. 

Saya bawakan satu kisah yang berlaku ketika perang Qadisiyah. Sa’ad bin Abi Waqqas memerintahkan Rabi’ bin Amir untuk menghadap Rustum, panglima perang Parsi. Rustum bertanya kepada Rabi’ tentang tujuan kedatangan pasukan Islam ke negaranya. Dengan lantang Rabi’ menjawab, “Kami datang untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah. Kami ingin membebaskan manusia dari dunia yang sempit menuju akhirat yang luas serta daripada kezaliman kepada Islam”.

Namun, realiti sekarang menunjukkan walaupun kita tidak ditawan oleh pemerintah yang zalim, tetapi kita telah ditawan oleh kecintaan dunia dan penghambaan kepada dunia. Kita terperangkap dalam kesesakan dunia yang memaksa untuk meninggalkan dan memikirkan kenikmatan apa yang akan kita peroleh di akhir nanti. Umat sendiri semakin alpa dengan kenikmatan dunia yang sementara sehingga melupakan kenikmatan syurga yang kekal abadi.

Mengapa Perlu Merancang Pengakhiran?

Kita hakikatnya warganegara akhirat, bukan dunia. Kerana dunia diciptakan untuk manusia tetapi manusia diciptakan untuk akhirat. Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang hakiki dan abadi. Sedarlah bahawa kita mempunyai kehidupan yang pertama dan kehidupan yang kedua. Kehidupan yang pertama adalah di dunia manakala kehidupan kedua adalah di akhirat sana. Bagaimana kita hanya mementingkan kenikmatan dalam kehidupan pertama dan lupa untuk merancang dan memikirkan kehidupan yang kedua?

Dunia ibarat jambatan yang menuju samada ke syurga ataupun neraka. Kehidupan pula ibarat perjalanan kita diatas jambatan tersebut. Setiap langkah yang kita lakukan dalam perjalanan yang tiada henti ini, semaki kita mendekati destinasi terakhir. Namun kita tidak diberi pengetahuan sampai bila kaki kita akan terus melangkah. Setiap manusia Allah tetapkan garis penamatnya, garis penamat yang kita tidak tahu dimana. Apabila kita berada dalam perjalanan, pastinya dihujung menenati destinasi yang ingin kita tuju. Namun yakinkah kita destinasi itu adalah syurga bukan neraka? Jika tiada bekalan yang disediakan daripada sekarang, bagaimana destinasi kita kelak? Yang menjadi kayu ukurnya adalah keimanan dalam hati dan amalan bagi setiap anggota kita.

Kerana itulah, dunia ini tempat untuk kita banyak-banyak mengumpul pahala dan melakukan amal soleh.  Manakala mereka yang tidak yakin adanya hari kebangkitan akan mensia-siakan masa yang ada dengan melakukan berbagai kemaksiatan kepada Allah. Dunia yang asalnya tempat untuk mengumpul bekalan pahala, dijadikan tempat untuk menjana seberapa banyak dosa. Na’uzubillah, semoga kita dijauhkan daripada mereka yang mensia-siakan kehidupan.

Ibaratnya seperti kita ingin melancong ke luar Negara. Pasti kita akan membawa barang keperluan secukupnya sebagai persediaan ke sana. Sekiranya kita tahu disana sedang menghadapi musim sejuk, maka kita akan bersedia dengan baju sejuk. Sekiranya kita tahu mata wang di sana menggunakan mata wang dollar, kita akan membuat persediaan awal untuk menukar dahulu wang tempatan sebelum sampai kesana. Begitulah ibaratnya kehidupan di dunia yang hanya sebagai tempat persinggahan sebentar, tempat lawatan sebentar. Pakaiannya adalah taqwa dan mata wangnya adalah pahala. Firman Allah dalam surah Al-Dhuha, ayat 4:
            “ Dan akhirat itu lebih baik bagimu (wahai Muhammad) daripada dunia”

Hakikatnya, semua agama percaya kepada kehidupan akhirat atau kebangkitan semula. Agama Hindhu percaya bahawa mereka perlu mencapai mokhsha untuk keluar daripada dunia dan mendapat kenikmatan kemudian, agama Buddha pula percaya bahawa mereka perlu mencapai nirvana sebagai penyatuan dengan Tuhan mereka. Begitu juga agama Nasrani dan Yahudi, mereka juga mempercayai kehidupan di akhirat. Mengapa ini semua berlaku? Kerana fitrah manusia inginkan keadilan yang mutlak namun keadilan ini tiada di dunia. Seringkali yang salah di pandang baik dan yang betul di pandang  buruk. Jika kita telusuri sejarah dahulu, kita dapat lihat peristiwa-peristiwa yang tragis berlaku tanpa keadilan. Berapa ramai manusia yang telah ditindas namun tiada pembelaan terhadap mereka? Berapa ramai umat islam, tokoh-tokoh ilmuwan islam yang telah dibunuh dengan kejam oleh orang kafir namun tiada penghukuman dikenakan keatas mereka?

Atas sebab ini, manusia tidak puas dengan hakikat kejadian yang berlaku seterusnya mengharapkan kehidupan kedua yang membawa keadilan yang sebenarnya. Timbul pelbagai persoalan dalam minda manusia, mengapa Allah tak menegakkan keadilan di dunia? Mengapa orang yang mungkar tidak mendapat pembalasan yang segera? Mengapa orang yang baik tidak mendapat ganjaran segera? Mengapa perlunya segala penangguhan ini? Namun sebagai seorang hamba, siapa kita ingin mempersoalkan segala ketentuan Allah. Mungkin bagi kepercayaan lain, mereka sungguh-sungguh merasai semua yang berlaku tidak sepatutnya berlaku, tetapi bagi kita umat islam kita yakin bahawa setiap yang berlaku terselindung seribu satu hikmah. Kehidupan kita bukan untuk di dunia semata, tetapi untuk diakhirat sana. Firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 42-43:
“ Dan janganlah engkau menyangka bahawa Allah lalai daripada perbuatan orang yang zalim, mereka Cuma ditakhirkan (diberi penangguhan) sampai kepada hari yang padanya terbeliak kaku pandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongak kepala mereka dengan mata yang tak berkelip dan hati mereka kosong”

Korbankan Kenikmatan Sementara

Apabila kita yakin pembalasan Allah akan datang di akhirat nanti, kita akan terdorong untuk terus melakukan kebaikan walau dibenci, ditindas diatas dunia yang sementara ini. Untuk kenikmatan yang kekal abadi, kita sanggup korbankan kenikmatan yang sementara.  Firman Allah dalam surah Al-Muzammil, ayat 20:
“ Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasannya) di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya”

Kehidupan di dunia kadang kala memaksa kita untuk melakukan kemungkaran kepada Allah. Pengaruh buruk yang semakin berlelusa, penindasan yang dilakukan keatas orang yang berkata benar dan banyak lagi. Namun sekiranya kita yakin ada ganjaran dan habuan yang akan kita peroleh di akhirat nanti, kita akan dapat meninggalkan pandangan manusia di dunia dan hanya mementingkan pandangan Allah. Daripada Ibnu Umar r.a. beliau berkata, bahawa Rasulullah memegang belakang beliau lalu bersabda:
“Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara”. Lalu Ibnu Umar r.a. berkata : “Jika engkau telah berada di waktu petang, maka janganlah dinantikan waktu pagi. Jika enkau berada di waktu pagi, maka janganlah dinantikan waktu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakit dan waktu hidupmu sebelum mati”
( Riwayat Al-Bukhari no. 6416 dan Al-Tarmizi no. 2333)

Hadis ini mencakupi pelbagai jenis kebaikan dan nasihat. Kandungan hadis ini sebagai tapak untuk tidak terlena di dunia kerana setiap muslim tidak sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang kekal abadi. Imam Abdul Hasan ‘Ali bin Khalaf dalam Syarah Bukhari berkata bahawa Abu Zinad berkata: “ Hadis ini bermakna menganjurkan agar sedikit bergaul dan sedikit berkumpul dengan orang-orang awam serta bersikap zuhud kepada dunia”. Gunakanlah kesempatan hidup ini untuk berbakti kepada Allah. Biar banyak rintangannya, jerih payahnya, kerana syurga itu mahal dan perlukan kesungguhan untuk mendapatkannya.

Tanda-tanda Menjadi Hamba Dunia

Tanpa kita sedar, kadang-kala kita telahpun menjadi hamba kepada dunia. Tingkah laku kita seharianlah yang menjadi bukti perhambaan kita. Kerana yang menjadi perbezaan kita adalah taqwa dan keimanan dalam hati. Taqwa dan imanlah yang akan mempengaruhi segala perilaku kita, segala gerak hati kita. Antara tanda-tanda kita sudah menjadi hamba kepada dunia adalah:
1. Kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak ada masa untuk membuka helaian al-Quran dan mentadabbur ayat-ayat cinta Allah.
2. Hilang rasa bersalah sekiranya kita melakukan dosa-dosa kecil. Terlalu memikirkan dosa sehingga kita lupa bahawa matlamat hidup ini adalah untuk mencapai redha Allah, tak kiralah dosan kecil atau dosa besar.
3. Yakin bahwa mati dan kiamat masih lambat dan masih punya banyak masa untuk bertaubat. Kita terlalu sibuk memikirkan tanda-tanda kiamat sehingga terlalu yakin bahawa selagi tanda-tanda ini belum tiba, nyawa kita masih panjang. Taubat ditangguh-tangguh.
4. Solat yang tergesa-gesa untuk segera melakukan urusan dunia. Menganggap solat itu hanya pergerakan solat, bukan pertemuan dengan Allah. Sedang orang yang beriman akan rasa tidak sabar-sabar untuk bertemu dan berdialog dengan kekasih hati di dalam solat.

Dunia umpama tempat membayar, akhirat umpama tempat berseronok. Sesungguhnya nikmat dunia tidak akan tercapai akal dan imaginasi, kata-kata atau apa sahaja yang dapat dijangkau oleh pancaindera manusia. Syurga lebih indah dan nikmat daripada apa yang boleh kita bayangkan. Oleh sebab itu, mereka yang benar-benar meyakini dan menginginkannya dan memandang ringan penderitaan dunia demi meraihnya. Kemanakah pengakhiran kita? Kita yang memilih dan kita jugalah yang mampu berfikir mana yang terbaik untuk kita kejar, syurga atau neraka. 

Wallahua’lam.






Kemana Pengakhiran kita?



Tukar LELAH kepada LILLAH.
Maka kau tak akan jumpa di mana LELAH.
Kerana yang kau jumpa hanya LILLAH.
............................................

Didik diri, perlukan tarbiyah.
Agar tak terlalu lemah.
Agar tak terus jatuh.
Agar mampu berdiri teguh.
Pada masa yang benar2 kau perlu tabah.
Pada masa yang memaksa untuk tidak memilih.
Supaya kaki terus melangkah.
Supaya kau jauh dari rebah.
...........................................

Kuat.
Kau tahu apa itu kuat?
Kuat itu adalah tidak lemah.
Bila kau yakin dengan aturan Allah.
Bila kau yakin dengan bantuan Allah.
Bila kau hanya bergantung pada Allah.
Lemah hanya untuk sedetik.
Sebab kau manusia.
Kuatlah untuk detik seterusnya.
Sebab kau ada Allah.
Allah hadirkan teman seperjuangan untuk kau kuat.
Tapi jangan lupa.
Allah tetapkan kehadirannya seiring dengan pemergiannya.
Bukan untuk kau terus lemah.
Tapi untuk kau terus kuat dengan ujian.
Saat ini.
Sejauh mana keyakinan kau dengan aturan Allah.
Sejauh mana kebergantungan kau pada Allah.
Sejauh mana kau yakin dengan pertolongan Allah.
Saat itu...
Kau perlu kuat.
Dayana.
.................................................

Kau hanya perlu yakin..
Dengan janji Allah..
Bila mana langkah menemui kepenatan..
Kau hanya perlu yakin..
Bantuan Allah akan tiba..
Allah Tahu
Allah Bantu
Bersyukurlah..
Kesibukan yang kau hadapi..
Kesibukan untuk ummah..
Kesibukan kerana Allah...
Bukan kesibukan sia-sia...
Bukan kesibukan dngn perkara lagha..
Kenapa kau masih mengeluh?
Kenapa kau masih merungut?
Ikhlaskah hati mu?
Bersyukur atau menyesal kerana berada atas perjuangan ini?????
Percayalah duhai diri..
Allah Tahu..
Allah Bantu..
.......................................

Jika ikutkan kondisi diri.

Dah lama lari.

Jauh membawa diri.

Penat, semput.

Tapi kaki xmampu melangkah pergi.

Kerana pasak nya bukan semata di hati.

Tapi di jiwa.

Mudah mudahan.

Hanya perlu sokongan.

Bukan makian yang akhirnya melemahkan.

Takut tak tahan, kaki terpaksa berlalu pergi.

Kerana diri hanya manusia yg punya hati.

Bukan tunggul yg mati.


.......................................


Pengorbanan.Perjuangan.

Jangan pernah rasa diri kita dah cukup bekorban. 
Selagi masih punya kudrat, bergerak lah..berjalan lah, hadapilah segala apa yang bakal datang.

Kerana kita tak akan tahu, sampai tahap mana kekuatan yg dimiliki.

Selagi kekuatan itu dimohon dri Allah, yang Maha mengetahui tahap kemampuan kita.

Yakin segala yang berlaku adalah lukisan hidup dri Allah, usaha sahaja selagi mampu. 
Moga terus diberi kekuatan pada diri yang lemah. 
Moga tidak tergolong dalam golongan orang2 yang tercicir di jalan dakwah.

Penat,tapi belum tiba masa untuk berehat.

Bismillah. Moga langkah ini hanya kerana Nya.

.............................................


* Hanya cebisan-cebisan kata-kata dari diri sendiri untuk diri sendiri. Dikarang tika jiwa sedang kuat, untuk pujukan tika jiwa lemah. Ingin sekali mengarang kisah dalam setiap langkah perjalanan, kerana sungguh perjalanan ini penuh dengan pengajaran, teguran, ujian dari Allah. Yang datang untuk diambil iktibar dan dipelajari, bukan untuk dikesali.

Alhamdulillah...aturan Allah sangat indah. =)
kiki emoticon

KUAT.



Bismillahirrahmanirrahim...

Jika sebelum ni, aku coretkan coretan sebelum bermulanya langkah sebenar... Sungguh saat ini, tak terkata rasa keinginan untuk kongsi rasa hati tika berada di pertengahan langkah.

Berat namun nikmat.
Payah namun indah.

Tak tahu nak gambarkan perasaan ini. Benarlah orang kata, jalan ini tak mudah tapi indah. Sebelum ni aku hanya dengar pengalaman orang-orang yang berada atas jalan ini tanpa rasa sendiri duduk dan hadapi. Sedikit demi sedikit cuba utuk belajar, cuba untuk usaha samaksimum mungkin untuk buat yang terbaik. Tapi biasalah manusia, siapa yang tak pernah rasa kepala kelam kabut tak tahu nak buat apa dah. Jam mungkin...lagi-lagi bila kena dekat budak lembik longlai, kena pula jadi orang yang mesti setia berusaha.

Nak nanges...usaha...usaha...

Banyak perkara perlu belajar. Kejap dicampak kesana, kejap dicampak kesitu.. Bersedia untuk tidak bersedia, kata-kata yang sering disebut. Hakikat diri yang tak reti nak bertegas sangat, lagi-lagi bila berbeza umur, apatah lagi bila berbeza jantina. Namun amanah diri memaksa untuk bertegas, amanah diri memaksa untuk banyak berkerjasama dengan semua orang agar pengurusan berjalan lancar.

Sungguh, perubahan ini bukan satu perkara yang mudah untuk diubah. Sampai satu tahap, rasa tak mampu namun tak dapat lari. Sampai satu tahap, terasa seakan ingin duduk senyap tanpa buat apa-apa. Namun begitu, iman masih sedar tanggungjawab diri, masih sedar tugasan yang perlu dijalankan. Mana mungkin mudah, tidak... tidak seperti yang difikirkan di awal perjalanan.

Keikhlasan hati yang utama. Belajar berkorban sebelum orang lain terkorban. Tak dapat dinafikan, sangat banyak perkara yang dipelajari. Tugasan ini bukan tugasan amanah di dunia semata, tetapi juga tugasan dalam menyebar dakwah kesekelian ummat. Banyak ujian mendatang, lepas satu...satu. Berturut-turut. Tanpa sempat selesai, ujian lain mula menjengah.

Saat ini diri benar-benar rasa diuji. Sejauh mana keikhlasan diri selama berada dalam jalan ini. Sejauh mana penghayatan diri dalam meniti mehnah perjuangan ini. Sejauh mana pengorbanan  yang sanggup diberi untuk memenuhi keperluan jalan ini.

Allahu..

Semoga langkah ini tidak berhenti saat ini, kerana destinasi yang ingin dicapai masih jauh untuk dikejar. Kembalikan hati pada Allah, yang Maha Tahu perihal hambaNya. Yang Maha Tahu kemampuan hamba Nya, Yang Maha Tahu perjalanan hamba Nya.

Semoga pengakhiran menemui kemanisan. Biarkan kepahitan menjelma diawal perjalanan...kerana tiada ubat yang manis. Tarbiyah perlukan usaha, tarbiyah perlukan kerelaan hati. Relakan diri mu ditarbiyah sepanjang berada di atas jalan ini.

Jangan sesekali tarbiyah itu dicampur aduk dengan kemaksiatan, kerana maksiat itu racun buat hati yang sedang mencari Ilahi. Kebatilan tak akan boleh dicampur dengan yang haq.

Selamat Berjuang duhai diri...




Selamat Berjuang...




Bismillah

Hari-hari berlalu dengan penuh kisah-kisah yang berbeza. Tak tahu kenapa, minat diri kali ini lebih kepada ingin berkongsi kisah sendiri sebagai pengajaran. Mungkin kerana tak mampu lagi untuk menipu diri dengan nasihat tanpa pengalaman yang akhirnya buat diri tertunduk malu. Walaupun setiap yang berlaku atas aturan Allah sentiasa menundukkan diri kerana malu dengan diri sendiri.

Menghadap Ilahi pun berkira tapi tak berhenti meminta. Allahu...

Ya, kerana kita hanya hamba. Mana mungkin meninggi diri sedang ada yang Maha Tinggi sedang memerhati. Siapalah aku yang bukan siapa-siapa..

Moga usaha kecil ini sedikit sebanyak menjadi sahamku saat dihisab nanti.

Moga coretan ringkas ini bakal menjadi peringatan terutama buat diri ini yang mudah alpa.

Moga lakaran hati ini mampu dilukis dan diterjemah oleh hati-hati yang dahagakan peringatan.

Bukan ramainya pembaca yang aku harapkan, tetapi usaha kecil ini sahaja kemampuan ku setakat ini untuk berkongsi panjang.. sekadar menyampaikan walau satu ayat.

Sebelum ni, soal perjuangan yang banyak dikongsi. Namun sejauh mana kefahaman kita dengan kata 'perjuangan' itu?

Jika ditanya, amat sukar untuk diperincikan soal perjuangan. Mungkin kerana perkara tersebut perlu dipelajari dengan pengalaman. Sebut soal perjuangan, jangan lupa soal keikhlasan. Satu lagi perkataan yang tak terungkap dan tak mampu dilihat. Natijahnya, kita akan bertemu pula dengan kata 'ukhuwah' juga kata istimewa buat insan yang merasainya.

Namun, sebelum pergi kepada 3 kata istimewa itu.. pentingnya untuk memahami secara mendalam dari mana kita datang, kenapa kita di dunia, dan kemana kita akan pergi selepas dunia. 3 soalan dan jawapannya cukup untuk kita berada di landasan yang benar. Kerana andai kita tak tahu jawapan kepada 3 soalan tersebut... ibarat berjalan tanpa arah tuju. Dan kerana 3 soalan ini juga sering difikirkan manusia dalam mengatur urusan dunia.

1. Dari mana kita datang?

" Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu air mani ( benih ) yang sedikit dipandang orang; Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan kepadanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur"
( As-Sajadah : 7-9 )

2. Kenapa kita di dunia?

" Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"
( Az-Zariyat : 56 )


3. Kemana kita akan pergi selepas mati?

" Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya)."
( Al-Insyiqaq : 6 ) 

Jelas bahawa, kita datang dari Allah, punyai tugasan sebagai hamba dan khalifah dimuka bumi dan pasti akan kembali kepada Allah.

Jika ditanya kemana ingin kita pergi setelah dibangkitkan, pasti dan sangat pasti tiada yang bermimpi untuk ke neraka. Syurga jawapan yang pasti. Namun, sajauh mana keinginan kita itu membuahkan amalan, atau sekadar angan-angan tanpa tindakan?

Bekalan di dunia, hasil dinikmati di akhirat kelak.

Dunia tempat berpenat, akhirat tempat nikmat.

Sungguh manusia itu sering lupa, manusia itu mudah alpa, manusia itu perlu peringatan. Kerana itu tugasan kita hamba dan khalifah. Sentiasa mengharapkan rahmat Allah juga menyebarkan dan mengajak. Islah diri dan ajak yang lain.

Ramai yang perbaiki diri namun terlupa untuk mengajak yang lain turut sama mengislah diri.
Ramai juga lupa untuk perbaiki diri namun sentiasa mengajak yang lain ke arah mengislah diri.
Hakikatnya, dua perkara tersebut perlu berjalan seiring.

Penting untuk kita tarbiyah diri kerana sukarnya seseorang itu melalui hijrah tanpa tarbiyah. Tarbiyah sebagai latihan, training untuk kita mengumpul sebanyak mungkin bekalan bukan sahaja untuk akhirat, tetapi juga untuk menghadapi mehnah dan cabaran di dunia ini. Betapa pentingnya asas yang kukuh dalam diri agar kita tahu mana nak tuju, kita tahu apa fokus kita dalam kehidupan ini.

Kerana tatkala diri terasa berat akan amanah yang dipikul, kita tak akan semput ditengah jalan. Kita punya ubat yang mujarab dalam diri untuk meneruskan langkah perjuangan. Saat ini, moga kita bertemu dengan kemanisan ukhuwah yang tersangat manis.

Wallahua'lam.











Siapa kita...



Seandainya...
dulu kau turuti kemahuanmu
Tanpa sedikit rasa bergantung
pada Penulis takdirmu

Seandainya..
dulu keyakinanmu tiada
pada Tuhan yang Maha Tahu
pada perihal makhlukNya

Seandainya...
tiada hidayah yang mengetuk jiwamu
sebelum kau sampai kini
kemana agaknya engkau

Seandainya...
gerak hatimu hanya kau sahaja kawal
membuat pilihan atas diri
tiada percaya pada takdir Tuhan

Kau tiada di sini.

Lihatlah diri mu kini
Dimana kau berdiri kini
Perihal apa kau kini

Sedarlah
Itu semua aturan Tuhan
Itu semua hadiah Tuhan
Itu semua nikmat Tuhan

Atas diri yang dicintai
Atas diri yang dirahmati
Atas diri yang dikasihi

Bersyukurlah duhai diri...
Terimalah takdir ini...
Kerna kau insan terpilih..
Untuk berada atas bumi ini...

Lafazkan duhai jiwa..

Alhamdulillah 'ala kulli hal.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"







Seandainya..



Andai jalan ini indah
Pasti ramai yang meniti diatasnya.

Andai jalan ini menjanjikan gelak tawa sentiasa
Pasti tiada yang kecundang ditengah perjalanan.

Andai jalan ini tak menuntut kelelahan
Pasti ramai yang mendukung amanah sepanjang perjalanan.

Jangan sebut soal perjuangan
Andai tak mampu beri pengorbanan.

Walau jalan ini tak indah dipermulaan
Pasti kemanisan di akhir perjalanan yang kau akan temui.

Walau jalan ini menuntut kelelahan sentiasa
Pasti Akan tersenyum puas kerna  amanat Allah pada diri terlaksana.

Walau jalan ini punya seribu satu pengorbanan
Janji Allah itu pasti, kemenangan di akhirat nanti.

Kau tak akan faham soal perjuangan
Jika kau tak pernah dan tak mahu lalu atas jalan ini.

Kau tak akan faham manisnya kepenatan
Jika kau mengeluh merungut atas segala kesusahan.

Kau tak akan rasa puasnya berjuang
Jika nawaitumu bukan untuk cari keredhaan Allah.

Tuntutlah ilmu
Dan mengakarlah

Mencari insan untuk dibantu
Meniti bersama ke jalan Ilahi

Apa guna kau punya ilmu
Andai manfaatnya hanya untuk diri

Apa guna kau punya hati
Andai hanya memikirkan diri sendiri

#hidupbiarberjasa

Coretan Jalanan.




120915.

Satu tarikh yang sukar untuk aku lupakan. Peristiwa pada hari itu tersemat dalam minda, kerana peristiwa itu telah membawa diri tunduk malu pada Sang Pencipta.

Manusia, siapa yang tak pernah jatuh. Siapa yang tak pernah jauh dibuai leka dengan kenikmatan dunia. Namun dengan sekali teguran daripada Allah, hati sekeras batu pun mampu pecah hancur jadi abu. Diri terkedu, sakit ujian dari Allah namun manis di hujung itu pasti.

Amanah. Sedangkan bukit mampu hancur andai diberi tanggungjawab ini. Namun seorang yang bergelar khalifah itu pasti mampu andai yang dicari itu hanya redha Allah.

Aku. Terasa luruh jantung tatkala nama disebut dalam dingin sebuah dewan. Terduduk diri tak mampu untuk dilafazkan rasa hati ketika itu. Kerna amanah yang diterima tak seperti yang pernah diterima, amanah ini tak pernah terfikir akal atau boleh juga disebut mustahil untuk aku pegang. Mampukah aku? Layakkah aku?

Hati terus merintih...
Jiwa terus menangis..
Minda tak mampu berfikir...
Tangan terus menggigil..

Allah...

Diam seribu bahasa. Ucapan "Tahniah" terus diterima. Namun diri hanya menghargai satu pandangan mata dari seseorang yang memandang aku dengan pandangan yang memberi kekuatan. Tanpa mengucapkan apa-apa, diri didakap... 'moga kuat ye qilah'..

Doakan aku...

Dalam kekusutan diri, syukur tak terhingga kerana dikelilingi sahabat yang sentiasa memberi kata semangat, memberi kekuatan pada diri. Aku bukan sendirian... itu yang disemat dalam minda.

Dan yang paling penting, aku ada Allah..

" Tolong Jangan rebah sebelum bertindak"

" Kita satu keluarga, saling menguatkan"

" Jangan rasa lemah, untuk rasa tak mampu tu memang lumrah. Tapi jangan rasa lemah. Kita rasa diri tak mampu, kita ada sahabat-sahabat yang menguatkan. Tapi bila kita rasa lemah, yang lain pun akan rasa lemah. Jangan hilang sebelah kaki, nanti jalan terencot-encot."

" Allah pilih mesti ada sebab, bersangka baiklah dengan Allah"

" Just be your self and calm down. We will try our best to make the best effort in this road."

" Kita tak buat kerja sorang-sorang dan kerja ni bukan untuk kita saja-saja, kerja ni untuk ummah!"

Syukur Alhamdulillah.

Qilah...moga terus qowiy. Jalan dah terbentang luas depan mata, teruslah berjalan. Biar perlahan, asal ikhlas dan tujuan nya satu..

Redha Allah.





Amanah




Assalamualaikum.

Alhamdulillah, dah hampir masuk tahun kedua aku menimba ilmu di sebuah lautan ilmu. Aku menghadapi jatuh bangun seorang pelajar. Aku belajar mematangkan diri untuk meneruskan kehidupan diatas muka bumi ini.

Hanya ingin berkongsi... ukhuwah yang aku jumpa disini. Ukhuwah yang sangat unik kerana ukhuwah ini bukan sekadar terjalin dengan gelak tawa dan suka duka, tetapi juga terjalin kukuh kerana semuanya mempunyai satu matlamat. Semuanya bertekad untuk menyebarkan kalimah haq, biar diri tak punya masa untuk bersenang lenang, asalkan kerja-kerja mengangkat martabat agama terus berjalan.

Ukhuwah ini atas dasar jiwa Ummah..jiwa-jiwa yang sedar hidup di dunia ini bukan untuk memikirkan diri sendiri sahaja, tetapi juga untuk berkongsi segala yang dimiliki agar tidak mengejar syurga Ilahi seorang diri. Diri kita diperlukan, ramai yang menanti ajakan daripada kita. Dan kerana itulah terhasilnya kemanisan ukhuwah yang teramat sangat.

Benarlah ungkapan yang berbunyi...

" Jika Allah ingin kita jadi baik, Allah hadirkan orang-orang yang baik mengelilingi kita"

Aku jumpa semua ni atas takdir Allah yang meletakkan aku dikalangan orang-orang yang hebat berpesatuan, orang-orang yang tidak meletakkan akademik nombor satu, kerja dakwah nombor dua. Tetapi orang-orang yang meletakkan akademik dan kerja dakwah itu SEIRING.

Benar, akademik dan pelajaran itu penting. Namun jika semua orang berfikiran begitu, siapa yang harus bertanggungjawab menyampaikan amar ma'ruf nahi mungkar kepada ummah yang semakin parah. Tanggungjawab kita bukan sekadar berhenti di atas kertas exam, tetapi tak kan pernah terhenti selagi islam belum mencapai kemenangan.

Suatu ketika, sebelum aku jumpa keluarga ini, aku sering menadah tangan memohon kepada Allah dek kerana sedih melihat keadaan kondisi ummat islam kini, termasuk diriku sendiri yang semakin parah....

" Ya Allah, aku yakin dengan Janji Mu bahawa hari kemenangan islam itu akan hadir. Islam akan berada dipuncak kemenangan dan kemegahan. Ya Allah, aku hambaMu yang lemah lagi hina. Namun, Kau tempatkanlah aku berada dikalangan hamba-hamba Mu yang turut membantu berusaha mencapai kemenangan islam. Agar aku tidak menjadi hamba-hamba Mu yang leka dan lalai dengan kehidupan dunia tetapi mengejar kemuliaan di Akhirat kelak."

Aku yakin, ini langkah pertama buat diriku. Membaiki hati yang kian parah, seterusnya memikirkan keadaan ummah dan bertindak menyampaikan, bukan sekadar semangat di lidah, tetapi turut mengerah tenaga.

Hampir setahun, aku diajar berpogram, aku dilatih memikat hati pelbagai peringkat mad'u, aku diajar berdikari bukan sekadar bergantung kepada kakak-kakak dan abang-abang senior dalam menjalankan program, aku dididik agar tidak hanya memikirkan diri sendiri. Malah, aku sendiri terinspirasi dengan penat jerih kakak-kakak dan abang-abang yang banyak melakukan pengorbanan. Mudah untuk aku katakan, mereka HEBAT. Betapa banyak jasa mereka sehingga aku sendiri tertarik dengan usaha mereka.

Aku maklum dengan kepenatan mereka, keluh kesah mereka, air mata yang mereka alirkan kerana diri diuji semasa meniti jalan perjuangan ini. Namun kata-kata yang mereka lontarkan sangat memberi kesedaran kepada aku bahawa jalan  ini tak mudah tetapi jalan ini sangat indah.
Aku jumpa mereka yang tak pernah berhenti bergerak. Aku jumpa mereka yang terus tersenyum dan berjalan walau diri penuh kekusutan....

" Kenapa kita perlu tunggu orang lain bergerak, sedangkan kita punya tenaga untuk dikerah"

" Carilah kekuatan dalam air mata keinsafan"

" Akak kuat sebab Allah hadirkan orang-orang yang kuat disekeliling akak, tak kan akak nak lemah sorang-sorang "

" Kita ibarat cawan, jika kita hanya fokus pada akademik, hanya separuh cawan dapat penuh, tetapi jika kita juga aktif bermasyarakat, kita dapat penuhkan cawan yang separuh"

" Jangan keluar universiti untuk jadi robot, tak reti nak menyampaikan"

" Ilmu itu bermakna apabila kita turut berkongsi dengan orang lain"

" Tak de orang nak pegang amanah ( jawatan ), tapi jika bukan kita siapa"

" Jalan ini tak ramai yang ingin bersama, qowiy ye dik"

" Jangan jadi orang yang hanya fikir diri sendiri, fikir kan semua orang"

" Kita hanya menyampaikan, hati manusia itu Allah yang pegang"

" Jangan jatuh hanya dengan jentikkan sedikit, Jalan ini payah kerana ganjarannya lumayan"

" Siap sedia untuk tidak bersedia"

" Hidup biar bermanfaat untuk orang lain, bukan sekadar untuk diri sendiri"


Sungguh, ukhuwah ini manis, moga terus qowiy :')


Travelog diri

apa kau cari yang sesungguh sungguhnya.
lama mana begini.
bertelanjang jiwanya.
apa kau nanti yang sebetul betulnya.
malam siang berganti .
jawabnya tetap sama.

hilang diri kau yang dulu.
jadi  lebih baik jauh sekali terlintas.
diri dilonjak tak ternafikan.
memandang  buruk kau biasakan.
salah diri tak kau akukan.
kau sayu .
kau lupa.
kau rindu.
sama Tuhan.

lafaz dilidah tak kau lakukan.
tekad di hati kau biarkan.
kerna kau rasa kau terhebat.
cukup buat kau.
langkah kaki kau hentikan.
terkapai jiwa mencari sinar.
ketenangan yang kau dahagakan.
rindu yang tiada kesudahan.
cinta yang kau dambakan.
kau paksa isi bukan pada tempatnya.
kau kerah jiwa dengan yang salah.
kau kaku.
kau sombong.
sama Tuhan.

Lemah.kosong.layu.
itu hakikat.
sukar kau nafikan.
kerna sudah cukup kau terseksa.
Lama kau tahu.
namun tak kau akukan.

Sunyi...

Cahaya itu datang lagi .
tak sanggup kau abaikan.
kau sambut peluang itu.
kau sedar cinta itu hadir.
sapaan buat hati  yang kian gelap.
kau usaha untuk capai.
kini kau tahu apa kau mahu .
kasih Tuhan.
cinta Tuhan.
Redha Tuhan.
tiada yang lain...


Hilang




Perjalanan di atas muka bumi mengajar seribu satu pengajaran.

Mata terus memerhati, menganalisa dan mengambil ibrah.

Minda mula berfikir...

Sungguh, aku hairan..

Kita diberi petunjuk yang jelas

Kita diberi peluang yang luas

Kita punya minda yang cerdas

Namun ramai yang kecundang..

Dibuai tipu helah makhluk bernama syaitan...

Ada orang,

Mulut manis berkata-kata..

Menyeru saudara seislam mengejar cinta Allah..

Namun jarang sekali lidah nya mengalunkan kalimah Allah..

Ada orang,

Sempurna penjagaan diri...

Pakaian isteri Baginda jadi identiti..

Malu menjadi pendiding diri...

Namun tengelam dalam cinta duniawi..

Hanyut dibelai cinta dusta seorang lelaki...

Ada orang,

Semangat dalam diri menjulang kalimah yang Benar..

Kerja dakwah menjadi rutin, risalah nabi disebar...

Jiwa ummah terus tegar..

Namun riyak menjadi hiasan..

Ibadah meraih cinta Ilahi dilupakan..

Baru diri ini sedar..

Ujian itu hadir tanpa sapaan..

Titik kelemahan menjadi sasaran..

Dunia ini hanya mendan lakonan..

Akhirat itu hakikat kehidupan.

Pintu taubat sentiasa terbuka..

Selagi nafas masih bersisa.

Perbaiki dirimu..

Allah bantu.



-Road to Ramadhan...






Bicara Minda






Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.

Hampir setahun jalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Besyukur tak terkata atas aturan Allah yang sangat indah.

Lagi dua hari, final exam untuk sem 3. Curi masa kejap nak menulis, saje nak share pengalaman.

Alhamdulillah berakhir sem 3, bermaksud berakhirlah amanah saya sebagai penolong dalam syukbah (kos). Sungguh, banyak ujian, banyak cerita, banyak senyuman, banyak juga air mata. Asam garam dalam memegang amanah, biaselah tu.

Jujur saya sedar, diri ni tak sehebat sahabat-sahabat lain dalam memimpin. Suara pun kecik..Tapi cuma yakin, Allah pilih mesti ada sebab. Ye, banyak sangat perkara yang saya belajar.

Cuba untuk adil, cuba untuk faham perasaan semua orang, cuba untuk buat semua orang senyum, cuba untuk hulurkan bantuan sebanyak mungkin, cuba untuk dengar suara semua orang, cuba untuk tegas, belajar untuk sabar, belajar terima kritikan orang, dannn yang saya paling nak share adalah...

Belajar untuk bekerja dengan muslimin dan dalam masa yang sama menjaga diri.

Atau kata lain, ikhtilat sekadar ikut keperluan.


Apa yang saya perasan, post blog saya yang paling ramai pembaca adalah tajuk Ikhtilat tu Ape?
Ye saya faham, masih ramai yang tertanya-tanya ikhtilat tu apa, ramai yang cuba untuk menjaga diri daripada ikhtilat. Alhamdulillah, jom sama-sama kita perbaiki diri ^_^


Nak share sikit, jujur saya kata.. dulu saya sangat takut dengan muslimin... takde lah takut sangat tapi.. asal bercakap depan-depan, tangan mula sejuk menggeletar. Kadang ada urusan penting kena bincang dalam ws, tangan saya pun mula menggeletar.

Walaubagaimanapun, saya sedar yang urusan akan jadi susah untuk bekerja secara profesional kalau saya terus macam tu. Jadi, usaha untuk atasi ketakutan tu supaya tak ketara sangat dan dalam masa yang sama masih menjaga diri. Macam mana?

Berinteraksi sekadar yang perlu sahaja. Kalau rasa dah habis urusan tu... selamat tinggal...

Bila perlu sampaikan maklumat dalam ws atau ape-ape je alat perhubungan, tulis sekadar yang betul-betul penting. Baca semula ayat kita tu, oke atau tak. Kalau agak-agak macam ramah mesra terlebih gula, jangan takut untuk tekan butang delete dan buat lah ayat formal sikit. Nanti takut diabetis.

Bila perlu berbincang berhadapan, jaga mata dan jaga bahasa kita. Juga, jaga lah senyuman kita. Hemm... saya masih berusaha untuk jaga senyuman tu sebab saya suka gelak..hehe. Kawal ye, kita kawal sesama. Mata. Ye saya setuju, bila orang bercakap dengan kita nampak tak sopan kalau tak pandang langsung macam tak heran je. Jadi... cukup sekadar pandang sekilas. Pastu pandang lah atas ke, bawah ke, tutup mata nanti orang kata kita tidur pule. Cuba ye..kita cube sikit-sikit.

Berkaitan laman sosial. Kita dapat lihat betapa internet ni buat manusia berhubung tanpa sempadan. Jaga diri...jagaaa. Facebook.. tiada friend muslimin selain murabbi dan sedara mara. titik.
Instagram, tak follow muslimin. titik.

Emm.. mybe ada yang fikir, macam tegas sangat. Ikutlah ketahanan diri masing-masing.... jujur saya kata, walaupun saya buat perkara-perkara atas tu, namun saya still rasa macam banyak lagi benda yang perlu dihadkan. Banyak lagi yang perlu diperbaiki.

Sebab, ikhtilat sangat berkait rapat dengan hubungan kita dengan Allah. Bila hati gelap, bukan mudah untuk dikikis semula bintik-bintik hitam. Maka, ambillah jalan selamat dengan menjauhi perkara yang rasa... tak buat pun takpe. Takde keperluan, jadi tinggalkanlah.

Mungkin akan ada yang bagi alasan, nanti orang kata apa, nanti orang kata kita sombong. Tanya balik diri, orang tu ke yang akan tolong kita untuk kita kikis bintik hitam dalam hati, atau dia hanya akan tambah bintik hitam itu. Hati kita, biar kita yang jaga. ^_^

InsyaAllah, bila kita menghormati diri agar jauh dari ikhtilat, orang lain semua akan hormat pendirian kita. Take a chill pill!!

Setakat tu je lah perkara yang saya nak share. Pengajaran nye, Pandai-pandai lah jaga diri bila perlu bekerjasama dengan muslimin. Sebab perkara tu memang kita tak dapat nak elak, nanti kat tempat kerja pun bukan semua orang perempuan kann...jadi carilah jalan untuk kawal interaksi itu.


Itu lah yang saya belajar bila pegang amanah ini. Jangan kita jadi terlalu malu sampai tak bagi komitmen. Kerjasama itu perlu, just bina lah pagar dalam diri untuk selamat. Letak sekali line kuning, supaya kita tahu di mana yang boleh berhenti dan mana yang tak boleh berhenti. Side mirror adjust supaya nampak mana-mana yang perlu dijauhi. Kawal stereng kita baik-baik ye...

Cukup sampai di situ sahaja. Semoga bermanfaat. Maaf penulisan ni lebih tertumpu pada muslimat sebab saya muslimat. Saya kurang pasti macam mana muslimin. Yep.. takde abang takde adik lelaki. Ayah je hero dalam family.


Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

*sambung study~


Jauhi yang tak perlu.





Assalamualaikum. Alhamdulillah.. alhamdulillah.. alhamdulillah

Terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan pada kita, namun lupa untuk kita bersyukur kepada Allah malah merungut disaat Allah beri sedikit ujian disebalik seribu kenikmatan.

Rindu rasanya nak menulis tapi baru diberi kesempatan sekarang disebabkan kesibukan yang melanda. Maklumlah, student mana boleh goyang kaki.. banyak amanah banyak tanggungjawab.

InsyaAllah kali ni tidak berniat untuk mengarang panjang. Cuma nak share pementasan saya dan sahabat-sahabat satu kos dalam pertandingan pementasan bahasa arab yang lepas. Dan pementasan ini bukan sekadar pertandingan tapi markah final kami untuk subject muhadathah. Makanya, yang menjadi cabaran adalah kami berlakon dengan bertutur bahasa arab. Saya antara ajk skrip yang bertanggungjawab atas setiap perkataan yang disebut pelakon2 handalan tu nanti..

Sebelum menonton, saya terangkan sedikit sinopsis kisah kami, yang bertajuk 'pertolongan Allah'. Bermula dengan:

1. Perbincangan zionis untuk menakluk palestin bumi anbiya'
2. Situasi keluarga bahagia di palestin dan sedang ber'skype dengan saudara mereka yang akan berlawan silat di sukan SEA. ayah dan ibu beri kata-kata semangat
3. Palestin diserang, tentera zionis buat kekacaun. ada penduduk yang dibunuh.
4. Sukarelawan dari malaysia datang membantu
5. Tekad seorang anak yang kematian bapa akibat diserang zionis, al-qassam ditubuhkan.
6. Tentera al-qassam membuat latihan ketenteraan dan pergi menyerang kubu zionis pada waktu subuh.
7. Tentera Al-qassam dikepung. Seluruh dunia mendoakan kemenangan palestin.
8. Bantuan Allah hadir dengan mendatangkan ribut kepada tentera zionis.
9. Semua tentera zionis ditembak mati.

Semoga kalian dapat ambil ibrah daripada pementasan kami. Selamat menonton ^_^





Terjemahan sajak di akhir pementasan:


Wahai Pemuda

Lihatlah jihad pemuda Palestin!

Lihatlah Semangat mereka dalam mempertahankan Agama Allah!

Jihad di jalan Allah telah menjadi perjuangan hidup mereka!

Mati syahid telah menjadi matlamat mereka!

Lihatlah pemuda Malaysia sekarang!

Lihatlah diri kita semua!

Dimana kita?

Dimana pemuda-pemudi harapan agama?

Kita leka dengan dunia!

Kita leka dengan hasutan syaitan!

Bangkitlah wahai pemuda!

Bangkitlah dengan semangat seorang pemuda!

Ummah memerlukan kita!

Tuntutlah ilmu dan bersungguh-sungguhlah!

Kita tentera Allah!

Kita pedang-pedang Allah!



Alhamdulillah kami mendapat tempat ketiga. Namun, itu tak penting tetapi mesage yang ingin kami sampaikan adalah lebih aula. Semoga kisah kami dapat membuka mata kita semua bahawa kita sudah jauh tertinggal diselubungi tipu daya Yahudi.



* Saya salah seorang yang bercakap time akhir tu. Belah kiri tudung biru. oke tak nampak pun..hehe.






Nasrullah by Syukbah Dakwah