Bismillahirrahmanirrahim...Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..
Hanya ingin berkongsi kisah, tiada yang menarik hakikatnya, cuma kagum dengan aturan Allah, jadi aku berhasrat untuk sematkan kisah ini. Tiada niat membangga diri kerana diakui terlalu banyak yang perlu diperbaiki. Semoga kisah ini menjadi pengajaran untuk sama-sama mengejar syurga Allah. Kerana syurga itu mahal, maka perlu mujahadah yang tinggi. Awak, awak dan awak.. kita tak banyak masa untuk bersenang lenang. Aku mulakan travelog ini dengan lafaz agung. Kerana travelog yang indah ini diatur dan disusun oleh Yang Maha Agung, Yang Maha Mengetahui dan yang sentiasa bersama aku dalam setiap langkah.
Sungguh, aku sangat bersyukur kerana ditakdirkan untuk mengharungi perjalanan ini.
Travelog ini bermula dengan niat yang satu, inshaa Allah. Hanya satu tekad dalam diri untuk berada di landasan yang benar dek kerana takut dengan alam selepas tamat sekolah. Niat untuk tidak terkeluar dari suasana tarbiyah yang diterima semasa di sekolah. Niat hanya untuk memberi bakti selagi mampu, niat hanya untuk mengutip sebanyak mungkin ilmu walau dimana berada, ingin sekali menerima bimbingan menuju redha Allah. Orang kata, Jika ingin jadi baik maka berkawan dan masuklah dalam kalangan mereka yang baik.
Itu yang aku cari.
Maka bermulalah pencarian aku. Berbekalkan doa kepada Allah agar memandu aku sepanjang pencarian, takut tersilap. Sungguh hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik.
Usrah. Itu yang aku cari dan harapkan. Alhamdulillah, aku jumpa. Malah aku jumpa dua usrah. Namun aku memilih yang aku selesa...dengan harapan moga ini yang benar dan baik untuk aku teruskan.
Hari demi hari aku sertai mereka. Aku cuba untuk turut serta dalam semua program yang dianjurkan, semua usrah yang disediakan. Terus mencari dan menerima ibarat insan yang kehausan. Dahagakan majlis ilmu, dahagakan tarbiyah Illahi. Kerana aku tahu, iman tidak sentiasa diatas.. perlu bekalan. Dan bekalan itu perlu bimbingan dan dorongan. Lemah dorongan maka lemah iman. Saat yang paling digeruni dan dikesali pabila tiba. Maka dengan sebab itu..aku sediakan perisai agar tidak mati ditikam fitnah dunia. Nauzubillah...
Hampir setahun aku sertai mereka, aku bekerja bersama mereka, dan ditakdirkan aku ditaklifkan sebagai setiausaha organisasi. Satu amanah yang cukup untuk aku rasa dunia ini gelap. Aku takkan mampu. Namun begitu, tiada apa yang aku boleh lakukan selain meneruskan amanah yang diberikan. Belajar sedikit demi sedikit. Ibarat orang asing kerana bagi aku terlalu banyak yang aku perlu faham dan lakukan. Pernah rasa untuk meninggalkan semuanya, biarlah orang nak kata apa. Tapi tak pernah aku lakukan sedemikian. Kerana aku tahu ini amanah dari Allah, aku tahu hak-hak manusia yang perlu aku penuhi. Biar diri 'terlingkup', takkan mampu untuk aku memejam mata membiarkan insan lain terkorban kerana sikap mementingkan diriku.
Teman seperjuangan sentiasa disisi. Sahabat yang sentiasa ada untuk memberi semangat dan dorongan. Bekerja bersama, ketawa bersama, menangis juga bersama. Manisnya ukhuwah yang terjalin. Di sini aku membina jati diriku, membina keyakinan yang sudah lama bersembunyi disebalik tabir ketakutan. Daripada seorang yang sangat gugup, sehingga menjadi seorang yang berani kehadapan, berani memberi pendapat, berani menguruskan.
Proses belajar. Tak normal kalau tak pernah hadapi kegagalan. Entah berapa banyak makian yang aku terima kerana tersilap langkah. Entah berapa banyak air mata mengalir demi menjalankan sebuah tugasan. Namun hanya mampu tersenyum dihadapan mereka, percaya senyum itu pengubat duka. Hanya pada Allah aku memohon kekuatan.
Bekerja dengan manusia, bermacam kerenah yang aku jumpa. Kami bermula dengan ramai, namun hari demi hari semakin bertambah rakan seperjuangan mengambil keputusan untuk meninggalkan. Sakit. Sedih. Kecewa. Sungguh tak dapat untuk aku nafikan rasa hati ketika melihat mereka melangkah pergi. Sedang aku menangis memaksa diri untuk meneruskan. Terasa diri dikhianati, terasa janji dimungkiri. Saat ini aku belajar untuk tidak bergantung harap pada makhluk bernama manusia, tetapi hanya pada Penciptanya...Allah. Namun aku tak salahkan mereka, mereka punya masalah tersendiri. Aku belajar untuk memanfaatkan ruang yang ada tanpa berharap pada teman. Ramai yang bersama aku, namun kerana silap diri, aku abaikan mereka. Bersyukur kerana Allah tetapkan hati aku dan mereka. Hanya doa yang mampu ku panjatkan agar terus diberi kekuatan.
Sendiri. Pernah aku rasa sendiri kerana kehilangan teman. Kuliyah diteruskan tanpa seorang pun tahu masalah aku, biar Allah je tahu. Sehingga satu tahap aku jadi tawar hati. Masalah menyelubungi diri, fokusku hilang. Bergerak bagaikan mayat hidup. Habis kuliyah, terus ketempat lain untuk menguruskan urusan-urusan yang tak selesai. Setiap hari rutin ku begitu. Setiap hujung minggu aku hilang dari bilik, mengurus program sana sini. Kadang aku cemburu dengan rakan sekelas yang hanya menumpukan pada pelajaran. Siang belajar, malam ulang kaji. Aku kecundang untuk semesta pertama memegang jawatan. Result aku jatuh menjunam, sekali dengan aku jatuh. Umi Ayah memberi amaran dan menggesa aku untuk meletak jawatan dengan segera. Diam seribu bahasa. Terasa diri sudah menjadi fitnah pada amal kebajikan ini. Kerana gagal menyusun masa dengan baik. Aku mengambil keputusan untuk tetap dan meminta mereka satu lagi peluang untuk aku buktikan pada semesta akan datang.
Benarlah ujian Allah itu hakikatnya mengikut kemampuan hambaNya. Betapa Allah sayang akan kita.
Alhamdulillah... Allah sentiasa bersama dengan hambaNya yang bersabar dan punya tekad yang kuat. Kita bantu agama Allah, Allah bantu kita. Itu yang aku pegang. Aku belajar mengurus masa, mengurus diri dengan lebih teratur. Dan aku berjaya buktikan pada mereka. Syukur alhamdulillah.
Tidak, aku tak akan tinggalkan keluarga ini. Keluarga yang telah banyak mengajar aku erti kehidupan yang sebenar. Aku sedar, walaupun penat tetapi aku gembira. Gembira dengan bakti yang diberi. Gembira memberi jasa, Terasa dapat memberi manfaat pada semua. Dan hakikatnya manfaat untuk diri aku tak terkira banyaknya. Mata yang bengkak menangis diganti dengan senyuman kepuasan dan kelapangan hati. Dunia tempat berlelah, akhirat tempat berehat. In shaa Allah, moga istiqomah.
Sampai di penghujung, bakal tiba masa untuk aku bergerak sendiri tanpa bimbingan penuh daripada senior yang selama ini memberi tunjuk ajar yang sangat banyak. Takut, bimbang.
Pesan mereka,
"Satu masa kami berada diluar lingkungan.. yang kami mampu pemerhatian dan memahat nasihat dengan niat semua tersemat...
cari azimat disebalik hikmat yang tersirat.. bukan sekadar melihat dan berhajat tetapi perlu langkah selamat.
Garis2 besar haluan perjuangan... bukan mudah membangun ummat... segalanya perlu diteliti...
kadang-kadang sendri agar yg lain mengerti, bukan memaksa diri tp cari ruang berbakti, takut-takut lama berhenti satu masa nanti..
teruskan niat dihati selagi punya matlamat untuk ditelusuri.
Penat mungkin dilazimi tapi kenikmatan dikecapi tatkala melihat orang lain tersenyum dan beri nafas baru dalam realiti bukan lagi igauan ngeri dek kerana ketakutan sndiri pd yg tak pasti"
nasihat panjang yang diterima.
Perjalanan masih jauh, masih banyak yang perlu dibaik pulih. Sedarlah kita daripada lena yang panjang sebelum kita benar-benar ditakdirkan untuk lena sepanjang hayat. Carilah cinta Allah sebelum kau menagih cinta manusia. Berilah bakti demi masa depan dan kebahagiaan di akhirat kelak sebelum kau sibuk mengejar kebahagian di dunia. Bersiap sedialah dengan bekalan untuk bertemu Allah, takut-takut jodoh mu dengan kematian datang menjengah dahulu. Di awal usia remaja ini, nikmatilah ia, penuhkan ilmu didada, berkhidmatlah selagi punya kudrat.
Ini cebisan dari kisah aku, Travelog aku. Perjalanan aku yang banyak cacat celanya namun cukup memberi seribu satu pengajaran kepada diri. Hanya perkongsian dengan harapan memberi kesedaran. Juga sebagai muhasabah saat nanti aku hampir rebah. Dan moga menjadi dorongan untuk semua andai satu hari nanti aku bertemu Illahi.
Kau, aku, kita daie. Tingkatkan diri, agar mampu membawa ummah bersama mengiringi, berjumpa di syurga Illahi.
Moga Allah Redha...
Tinta Mujahadah
Teks ceramah
individu.
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh
إنَّ
الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ
بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ
اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ ،َأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ
إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ
وَرَسُوْلُهُ.، أَمَّا بَعْدُ
Segala puji kita panjatkan kehadrat
Allah SWT atas segala nikmatnya yang telah diberikan kepada kita semua. Nikmat
sehat, nikmat taufik hidayah inayah, dan nikmat yang paling besar adalah nikmat
Iman & Islam. Alhamdulillah. Pertamanya, ingin saya ucapkan ribuan terima
kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya memberi ceramah pada hari
ini. Seterusnya, terima kasih kepada hadirin hadirat yang dirahmati Allah
sekalian atas kesudian untuk menghadirkan diri dalam majlis ilmu ini. Tahniah
beribu tahniah saya ucapkan kepada anda atas kehadiran anda pada hari ini,
sesungguhnya kalian adalah insan terpilih yang telah digerakkan oleh Allah hati-hati
kalian untuk bersama-sama pada hari ini. Berapa ramai diluar sana yang lalai
dengan kenikmatan dunia yang sementara? Berapa ramai diluar sana yang tak
tergerak sedikit pun untuk duduk dalam majlis sebegini? Berapa ramai di luar
sana yang masih lena dibuai mimpi indah dalam selimut keduniaan? Tetapi
Alhamdulillah, Allah beri hidayah kepada kita untuk sama-sama berdiskusi dan
bersama-sama berkongsi ilmu dalam majlis yang penuh dengan barakah ini. In Shaa
Allah. Sungguh, nikmat iman dan islam itu merupakan nikmat terbesar yang kita
peroleh. Alhamdulillah.
Saudara saudari yang dikasihi
Allah sekalian,
Saya dimaklumkan oleh pihak
penganjur bahawa audians pada hari ini majoritinya mengambil Pengajian Islam
Dakwah. Terasa kerdil diri ini apabila berhadapan dengan jiwa-jiwa yang hebat.
Jiwa-jiwa yang punya misi ummatik dalam diri mereka. Semoga Allah menjauhkan
kita daripada menjadi hamba-hambaNya yang lalai dengan kenikmatan dunia. Saya
mengambil masa yang agak lama untuk memikirkan tajuk yang sesuai untuk saya
bawa dan sampaikan kepada kalian. Seringkali kita mendengar ungkapan ‘jalan
dakwah tidak terbentang dengan karpet merah’, namun sejauh mana kita memahami
ungkapan ini sebagai seorang pendakwah? Alhamdulillah Allah ilhamkan kepada
saya untuk membawa tajuk, ‘ Hamasah dan Thaqofah, di Mana Perkaitannya?’
Tiga perkara yang akan saya perincikan pada hari ini adalah yang pertama, apa
yang dimaksudkan dengan hamasah dan thaqofah. Yang kedua, dimana perkaitannya
dan dimana kepentingannya dan yang terakhir adalah bagaimana untuk kita terus
istiqomah diatas jalan dakwah.
Saudara saudari yang saya hormati
sekalian,
Apa yang dimaksudkan dengan
hamasah? Apa pula yang dimaksudkan dengan Thaqofah? Dua perkataan yang saling
berkait, saling bersandaran dan saling memerlukan. Hilang satu, tempanglah yang
satu lagi. Hamasah bermaksud semangat dalam diri yang mendorong kita untuk
terus melakukan sesuatu perkara walau ditimpa pelbagai halangan dan
dugaan. Sifat ini ada dalam diri setiap
daripada kita, terutamanya bagi orang muda seperti kita. Untuk pengetahuan
saudara saudari, dalam diri orang muda ada satu sifat istimewa iaitu sifat
‘gila’. Apabila melakukan sesuatu, orang muda mempunyai semangat gila-gila yang
sangat tinggi. Sebab itulah jika kita perhatikan sekarang, kebanyakan masalah
social adalah daripada orang muda kerana rasa ingin mencuba sesuatu yang baru
itu sangat tinggi. Yang menjadi kayu ukurnya adalah, kemana kegilaan itu
disalurkan dan bagaimana kegilaan itu digunakan untuk perkara-perkara yang baik.
Hamasah yang ingin saya tekankan
pada hadirin adalah hamasah syabab, semangat seorang pemuda dalam melakukan dan
meneruskan jalan perjuangan dakwah. Maka hamasah ini perlu didasari dengan
keimanan dan ketaqwaan yang tinggi kepada Sang Pencipta, Allah s.w.t. Kerana
tanpa dasar yang kuat, maka lemahlah jiwa dan mudahlah untuk kita tergolong
dalam golongan yang tercicir di jalan dakwah. Jika kita telusuri
sejarah-sejarah kegemilangan islam satu masa dahulu, kita akan bertemu dengan
tokoh-tokoh pemuda yang meletakkan diri mereka sebagai pendokong agama.
Syahidnya mereka kerana memperjuangkan keagungan islam, menyebarkan islam
kepada ummat manusia. Contohnya seperti
Salahuddin Al-Ayubi, Umar bin Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al-Fateh. Sungguh,
tanpa hamasah yang utuh seperti tokoh-tokoh islam yang sebutkan tadi, mana
mungkin islam dapat diangkat tinggi. Sejauh mana kita sebagai seorang pemuda
mempunyai himmah yang tinggi dalam memartabatkan islam untuk mendorong hamasah
terus membara dalam diri.
Sidang Hadirin yang saya hormati
sekalian,
Apa pula yang dimaksudkan dengan
thaqofah? Thaqofah bermaksud ilmu
pengetahuan. Ilmu lah yang mengawal akal kita seterusnya mengawal setiap
perbuatan kita. Apabila seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi
tentang islam, maka akan lahirlah kefahaman. Kejahilan adalah halangan dan
hijab yang menghalang kefahaman kita terhadap diri dan alam. Halangan ini bukan
sahaja membina tembok kefahaman, tetapi juga menimbulkan masalah dalam
komunikasi dan perhubungan dengan masyarakat. Sedangkan kita diberi amanah oleh
Allah untuk menjadi khalifah dimuka bumi, untuk memakmurkan dan mengimarahkan
bumi ini. Manusia yang dikehendaki islam adalah manusia yang maju, yang
menguasai ilmu sebagai amanah Allah. Bukanlah manusia yang dikuasai oleh
persekitarannya atau oleh nature dan tabi’i yang melingkunginya. Kekuatan yang
dilengkapkan oleh Allah untuk manusia adalah ketinggian dan kemajuan ilmunya.
Saudara Saudari yang dirahmati
Allah sekalian,
Kita masuk kepada isi yang kedua, antara hamasah dan thaqofah,
dimana perkaitannya dan dimana kepentingannya? Saya petik kata-kata Imam Hassan
Al-Banna, “Tanggungjawab itu lebih banyak dari masa yang ada” Hidup sebagai
seorang manusia, kita diberi oleh Allah masa yang sama panjangnya, 24 jam sehari.
Tiada orang yang hanya mempunyai 10 jam sehari dan tidak ada orang yang
mempunyai 30 jam sehari. Kita semua sama namun, bagaimana seseorang itu boleh
melakukan banyak perkara dalam satu hari, sedangkan ada pula yang merungut
tidak cukup masa untuk menyiapkan tugasan. Disini, perlu kita koreksi semula,
kemana masa kita dihabiskan dan sejauh mana keberkatan masa itu kita peroleh.
Sungguh, jika kita hanya menunggu masa yang lapang takkan dapat untuk kita
melaksanakan tanggungjawab yang telah Allah letak di atas bahu-bahu kita. Hamba
dan Khalifah. Kadang kita rasa tugasan kita sekarang hanya sebagai seorang
pelajar yang perlu menuntut ilmu. Namun sedar tak sedar, berapa ramai di luar
sana yang menanti ajakan, tarikan, dorongan daripada kita untuk berjalan seiring
menuju syurga Allah. Masa itu perlu di susun, agar keberkatannya ada, agar kita
tidak menjadi insan yang hanya memperbaiki diri, menambah kebaikan diri tetapi
juga sempat turun kelapangan untuk menarik tangan-tangan yang sudah lama tunggu
disambut.
Kerja dakwah sangat memerlukan
keikhlasan hati yang tinggi kerana kerja-kerja ini bukanlah kerja yang mudah. Saya
petik kata-kata Mustafa Masyhur dalam buku nya, Bekalan di sepanjang perjalanan
dakwah:
“ Di atas jalan dakwah kita
memerlukan ilmu yang bermanfaat, yang perlu untuk sahibuddakwah, penyeru ke
jalan Allah di atas hujah yang nyata. Tidaklah mencukupi dengan hanya membaca
kitab dengan banyaknya, tanpa disertai dengan taqwa kepada Allah dan niat yang
ikhlas kerana Allah, kelak Allah akan menambah kurniaan ilmu, nur, cahaya, dan
taufiqNya.”
Firman Allah dalam surah
Al-baqarah, ayat 282 mafhumnya:
“ Dan bertaqwalah kamu kepada
Allah kerana Allah mengajar kamu dan Allah mengetahui segala sesuatu”
Sesuatu gerakan dakwah tak akan berjaya jika
tenteranya hanya mempunyai hamasah yang tinggi namun tiada thaqofahnya. Hari
ini, ramai dikalangan kita yang menjadi penyokong agama tetapi tak ramai yang
sanggup untuk menjadi pendokong agama. Ramai yang melaungkan islam, tetapi
disebalik laungan itu berapa ramai yang benar-benar mengorak langkah untuk
mengambil tindakan? Inilah yang terjadi bilamana kita mempunyai hamasah, tetapi
tiada thaqofah. Tiada kefahaman dalam perjuangan. Sesungguhnya, semangat yang
terpandu dengan kefahaman, akhirnya akan menemui keikhlasan. Namun semangat
yang tidak terpandu dengan kefahaman, akhirnya hanya menemui kejahilan,
kekufuran dan kefuturan.
Saudara saudari yang dirahmati
Allah sekalian,
Tidak ada futur sekiranya kita
mempunyai maknawi yang tinggi. Kita semua tahu kewajipan untuk menyampaikan
amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi yang kurang dalam diri kita sekarang adalah
ilmu yang tinggi. Namun, masyarakat semakin hari semakin jauh daripada ruh
islam. Jika kita tidak ambil tindakan untuk meningkatkan kefahaman tentang
islam sekarang, maka selamanya kita akan menjadikan kurang ilmu itu sebagai
alasan untuk terus duduk melihat keadaan sekitar. Kita menanti orang untuk
mentarbiyah diri kita sedangkan tarbiyah itu perlu dicari dan diusahakan. Sebab
itu hadirin sekalian, atas kesedaran tanggungjawab ini perbaikilah diri,
tingkatkan kefahaman diri dan bertebaran lah turun ke lapangan. Sampai bila
kita harus tunggu? Tunggu masa yang menentukan sedangkan sebenarnya kitalah
yang menentukan. Usaha atau tidak yang membezakan kita. Banyakkan membaca
buku-buku haraki, buku-buku yang ditulis oleh ulama’ terkemuka agar seimbang
pengisian dan pemberian. Jangan bergerak dengan jiwa yang kosong, kelak di
tengah jalan kita akan tersadung. Mungkin bangkit semula untuk terus melangkah
atau bangkit semula hanya untuk mengaku kalah.
Saudara saudari yang dirahmati
Allah sekalian,
Saya masuk pula isi yang ketiga,
bagaimana untuk kita terus istiqomah dalam jalan dakwah. Istiqomah itu tak
mudah, sebab itulah kita memerlukan bekalan. Bekalan di sepanjang perjalanan
dakwah. Kenapa kita perlukan bekalan? Kerana jalan dakwah itu tak selalunya
indah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 214:
“ Apakah kamu sangka bahawa kamu
akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu keadaan seperti mereka yang
telah lalu terdahulu daripada kamu, mereka ditimpa malapetaka dan kesengseraan
serta digoncangkan (dengan berbagai cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan
orang-orang yang beriman bersamanya; bilakah datangnya pertolongan Allah?
Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”
Bekalan utama yang perlu bagi
seorang daie pastinya iman dan taqwa yang akan memancarkan segala kebaikan
dalam hati, menetapkan matlamat dan niat dalam diri, menambah keazaman dan
kemahuan seterusnya memudahkan gerakan langkah kita. Ujian yang datang
menyerabutkan fikiran namun kita masih mampu untuk tersenyum, redha dengan
pemberian Allah. Kerana pasti disetiap ketentuan Allah pasti tersimpan seribu
satu hikmah. Tinggal kita yang perlu cari.
Seterusnya, bekalan yang kita
perlu adalah merasai kehadiran Allah di setiap langkah. Apabila kita merasai
penyertaan Allah, kita tidak akan rasa kekurangan sedikit pun. Namun,
penyertaan Allah ini hanyalah diberikan kepada orang yang beriman, bertaqwa
serta beramal soleh. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 127-128:
“ Dan bersabarlah, dan tiadalah
kesabaranmu itu kecuali kerana Allah dan janganlah merasa dukacita ke atas
mereka dan janganlah kamu merasa susah dengan tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah
bersama dengan orang yang bertaqwa dan berbuat baik “
Seorang pendakwah sangat terdedah
dengan sifat malas, lemah semangat, lesu dan pelbagai lagi penyakit hati.
Namun, sikap para dai’e yang saling mengingati kearah kebaikan dan nasihat
menasihati mampu menghalang kita untuk terus futur. Kerana itulah ukhuwah
islamiyah juga sangat penting. Kita tak akan mampu sekiranya berseorangan dalam
perjalanan, oleh itu berkumpulan lah dan berjemaahlah agar kita punya kesatuan
hati yang teguh untuk terus bangkit.
Saudara saudari yang dirahmati
Allah sekalian,
Ceramah saya sudah hampir ke
penghujungnya. Semoga perkongsian ini menjadi titik bermulanya perjuangan
kalian. Hamasah dan thaqofah perlu seiring, agar islam dapat terus meluas
menentang arus dunia yang semakin parah. Bertebaranlah kalian namun jangan
biarkan tanpa ikatan. Wallahua’lam.
Wabilahi taufiq wal hidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
RUJUKAN
1. Bekalan di Dalam Perjalanan Dakwah, Mustafa Masyhur, 1985,
Pustaka Salam
2. Pesan Hati Untuk Hati, Pahrol Muhammad Juoi, 2014, Telaga Biru
Sdn. Bhd.
3. Hadis 40 Imam Nawawi, Zahzan Mohamed, 2011,Telaga Biru Sdn. Bhd.
4. Di Bawah Naungan Islam, Mohd Nakhaie Ahmad, 1998, Percetakan
Yayasan Islam Terengganu.
HAMASAH DAN THAQOFAH, DI MANA PERKAITANNYA?
“ Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah
ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan
yang sebenar-benarnya. Kalaulah mereka mengetahui.”
( Surah al-Ankabut : 64 )
Allah menerangkan di dalam kalamnya bahawa dunia ini ibarat
permainan, ibarat hiburan yang pastinya sementara dan akhirat sana adalah
kehidupan kita yang sebenar-benarnya. Di akhir ayat, Allah menyebut, kalaulah
mereka mengetahui. Ayat ini menunjukkan betapa hakikatnya manusia itu tahu
namun seringkali terlupa hanya kerana kenikmatan dunia yang sementara dirasakan
seolah-olah selamanya. Bermulanya kita pasti ada pengakhirannya, sama ada
pengakhiran yang baik atau pengakhiran yang buruk? Jika bermulanya kita tanpa
memikirkan dan merancang pengakiran kita, adakah kita yakin pengakhiran yang
baik yang akan kita temui nanti? Yakinkah kita syurga yang menanti kita di
akhirat nanti?
Syurga dipagari dengan perkara yang tidak disukai, manakala neraka
dipagari dengan keseronokan syahwat. Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata
:
“ Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka
sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus
kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan
itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal”
Saidina Ali menyebut bahawa kebaikan yang kita lakukan akan terus
kekal sama ada manfaatnya kepada orang lain akan kekal dan pahalanya akan kekal
sehingga diakhirat kelak.
Saya bawakan satu kisah yang berlaku ketika perang Qadisiyah. Sa’ad
bin Abi Waqqas memerintahkan Rabi’ bin Amir untuk menghadap Rustum, panglima
perang Parsi. Rustum bertanya kepada Rabi’ tentang tujuan kedatangan pasukan
Islam ke negaranya. Dengan lantang Rabi’ menjawab, “Kami datang untuk
membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan
kepada Allah. Kami ingin membebaskan manusia dari dunia yang sempit menuju
akhirat yang luas serta daripada kezaliman kepada Islam”.
Namun, realiti sekarang menunjukkan walaupun kita tidak ditawan
oleh pemerintah yang zalim, tetapi kita telah ditawan oleh kecintaan dunia dan
penghambaan kepada dunia. Kita terperangkap dalam kesesakan dunia yang memaksa
untuk meninggalkan dan memikirkan kenikmatan apa yang akan kita peroleh di
akhir nanti. Umat sendiri semakin alpa dengan kenikmatan dunia yang sementara
sehingga melupakan kenikmatan syurga yang kekal abadi.
Mengapa Perlu Merancang Pengakhiran?
Kita hakikatnya warganegara akhirat, bukan dunia. Kerana dunia
diciptakan untuk manusia tetapi manusia diciptakan untuk akhirat. Kehidupan di
akhirat adalah kehidupan yang hakiki dan abadi. Sedarlah bahawa kita mempunyai
kehidupan yang pertama dan kehidupan yang kedua. Kehidupan yang pertama adalah
di dunia manakala kehidupan kedua adalah di akhirat sana. Bagaimana kita hanya
mementingkan kenikmatan dalam kehidupan pertama dan lupa untuk merancang dan
memikirkan kehidupan yang kedua?
Dunia ibarat jambatan yang menuju samada ke syurga ataupun neraka.
Kehidupan pula ibarat perjalanan kita diatas jambatan tersebut. Setiap langkah
yang kita lakukan dalam perjalanan yang tiada henti ini, semaki kita mendekati
destinasi terakhir. Namun kita tidak diberi pengetahuan sampai bila kaki kita
akan terus melangkah. Setiap manusia Allah tetapkan garis penamatnya, garis
penamat yang kita tidak tahu dimana. Apabila kita berada dalam perjalanan,
pastinya dihujung menenati destinasi yang ingin kita tuju. Namun yakinkah kita
destinasi itu adalah syurga bukan neraka? Jika tiada bekalan yang disediakan
daripada sekarang, bagaimana destinasi kita kelak? Yang menjadi kayu ukurnya
adalah keimanan dalam hati dan amalan bagi setiap anggota kita.
Kerana itulah, dunia ini tempat untuk kita banyak-banyak mengumpul
pahala dan melakukan amal soleh. Manakala mereka yang tidak yakin adanya hari
kebangkitan akan mensia-siakan masa yang ada dengan melakukan berbagai
kemaksiatan kepada Allah. Dunia yang asalnya tempat untuk mengumpul bekalan
pahala, dijadikan tempat untuk menjana seberapa banyak dosa. Na’uzubillah,
semoga kita dijauhkan daripada mereka yang mensia-siakan kehidupan.
Ibaratnya seperti kita ingin melancong ke luar Negara. Pasti kita
akan membawa barang keperluan secukupnya sebagai persediaan ke sana. Sekiranya
kita tahu disana sedang menghadapi musim sejuk, maka kita akan bersedia dengan
baju sejuk. Sekiranya kita tahu mata wang di sana menggunakan mata wang dollar,
kita akan membuat persediaan awal untuk menukar dahulu wang tempatan sebelum
sampai kesana. Begitulah ibaratnya kehidupan di dunia yang hanya sebagai tempat
persinggahan sebentar, tempat lawatan sebentar. Pakaiannya adalah taqwa dan
mata wangnya adalah pahala. Firman Allah dalam surah Al-Dhuha, ayat 4:
“ Dan akhirat itu
lebih baik bagimu (wahai Muhammad) daripada dunia”
Hakikatnya, semua agama percaya kepada kehidupan akhirat atau
kebangkitan semula. Agama Hindhu percaya bahawa mereka perlu mencapai mokhsha
untuk keluar daripada dunia dan mendapat kenikmatan kemudian, agama Buddha pula
percaya bahawa mereka perlu mencapai nirvana sebagai penyatuan dengan Tuhan
mereka. Begitu juga agama Nasrani dan Yahudi, mereka juga mempercayai kehidupan
di akhirat. Mengapa ini semua berlaku? Kerana fitrah manusia inginkan keadilan
yang mutlak namun keadilan ini tiada di dunia. Seringkali yang salah di pandang
baik dan yang betul di pandang buruk.
Jika kita telusuri sejarah dahulu, kita dapat lihat peristiwa-peristiwa yang
tragis berlaku tanpa keadilan. Berapa ramai manusia yang telah ditindas namun
tiada pembelaan terhadap mereka? Berapa ramai umat islam, tokoh-tokoh ilmuwan
islam yang telah dibunuh dengan kejam oleh orang kafir namun tiada penghukuman
dikenakan keatas mereka?
Atas sebab ini, manusia tidak puas dengan hakikat kejadian yang
berlaku seterusnya mengharapkan kehidupan kedua yang membawa keadilan yang
sebenarnya. Timbul pelbagai persoalan dalam minda manusia, mengapa Allah tak
menegakkan keadilan di dunia? Mengapa orang yang mungkar tidak mendapat
pembalasan yang segera? Mengapa orang yang baik tidak mendapat ganjaran segera?
Mengapa perlunya segala penangguhan ini? Namun sebagai seorang hamba, siapa
kita ingin mempersoalkan segala ketentuan Allah. Mungkin bagi kepercayaan lain,
mereka sungguh-sungguh merasai semua yang berlaku tidak sepatutnya berlaku,
tetapi bagi kita umat islam kita yakin bahawa setiap yang berlaku terselindung
seribu satu hikmah. Kehidupan kita bukan untuk di dunia semata, tetapi untuk
diakhirat sana. Firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 42-43:
“ Dan janganlah engkau menyangka bahawa Allah lalai daripada
perbuatan orang yang zalim, mereka Cuma ditakhirkan (diberi penangguhan) sampai
kepada hari yang padanya terbeliak kaku pandangan mereka. Mereka terburu-buru
sambil mendongak kepala mereka dengan mata yang tak berkelip dan hati mereka
kosong”
Korbankan Kenikmatan Sementara
Apabila kita yakin pembalasan Allah akan datang di akhirat nanti,
kita akan terdorong untuk terus melakukan kebaikan walau dibenci, ditindas diatas
dunia yang sementara ini. Untuk kenikmatan yang kekal abadi, kita sanggup
korbankan kenikmatan yang sementara. Firman
Allah dalam surah Al-Muzammil, ayat 20:
“ Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu
memperoleh (balasannya) di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang
paling besar pahalanya”
Kehidupan di dunia kadang kala memaksa kita untuk melakukan
kemungkaran kepada Allah. Pengaruh buruk yang semakin berlelusa, penindasan
yang dilakukan keatas orang yang berkata benar dan banyak lagi. Namun sekiranya
kita yakin ada ganjaran dan habuan yang akan kita peroleh di akhirat nanti,
kita akan dapat meninggalkan pandangan manusia di dunia dan hanya mementingkan
pandangan Allah. Daripada Ibnu Umar r.a. beliau berkata, bahawa Rasulullah
memegang belakang beliau lalu bersabda:
“Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau
pengembara”. Lalu Ibnu Umar r.a. berkata : “Jika engkau telah berada di waktu
petang, maka janganlah dinantikan waktu pagi. Jika enkau berada di waktu pagi,
maka janganlah dinantikan waktu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum
sakit dan waktu hidupmu sebelum mati”
( Riwayat Al-Bukhari no. 6416 dan Al-Tarmizi no. 2333)
Hadis ini mencakupi pelbagai jenis kebaikan dan nasihat. Kandungan
hadis ini sebagai tapak untuk tidak terlena di dunia kerana setiap muslim tidak
sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang kekal abadi. Imam
Abdul Hasan ‘Ali bin Khalaf dalam Syarah Bukhari berkata bahawa Abu Zinad
berkata: “ Hadis ini bermakna menganjurkan agar sedikit bergaul dan sedikit
berkumpul dengan orang-orang awam serta bersikap zuhud kepada dunia”.
Gunakanlah kesempatan hidup ini untuk berbakti kepada Allah. Biar banyak
rintangannya, jerih payahnya, kerana syurga itu mahal dan perlukan kesungguhan
untuk mendapatkannya.
Tanda-tanda Menjadi Hamba Dunia
Tanpa kita sedar, kadang-kala kita telahpun menjadi hamba kepada
dunia. Tingkah laku kita seharianlah yang menjadi bukti perhambaan kita. Kerana
yang menjadi perbezaan kita adalah taqwa dan keimanan dalam hati. Taqwa dan
imanlah yang akan mempengaruhi segala perilaku kita, segala gerak hati kita.
Antara tanda-tanda kita sudah menjadi hamba kepada dunia adalah:
1. Kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak ada masa
untuk membuka helaian al-Quran dan mentadabbur ayat-ayat cinta Allah.
2. Hilang rasa bersalah sekiranya kita melakukan dosa-dosa kecil.
Terlalu memikirkan dosa sehingga kita lupa bahawa matlamat hidup ini adalah
untuk mencapai redha Allah, tak kiralah dosan kecil atau dosa besar.
3. Yakin bahwa mati dan kiamat masih lambat dan masih punya banyak
masa untuk bertaubat. Kita terlalu sibuk memikirkan tanda-tanda kiamat sehingga
terlalu yakin bahawa selagi tanda-tanda ini belum tiba, nyawa kita masih
panjang. Taubat ditangguh-tangguh.
4. Solat yang tergesa-gesa untuk segera melakukan urusan dunia.
Menganggap solat itu hanya pergerakan solat, bukan pertemuan dengan Allah.
Sedang orang yang beriman akan rasa tidak sabar-sabar untuk bertemu dan
berdialog dengan kekasih hati di dalam solat.
Dunia umpama tempat membayar, akhirat umpama tempat berseronok.
Sesungguhnya nikmat dunia tidak akan tercapai akal dan imaginasi, kata-kata
atau apa sahaja yang dapat dijangkau oleh pancaindera manusia. Syurga lebih
indah dan nikmat daripada apa yang boleh kita bayangkan. Oleh sebab itu, mereka
yang benar-benar meyakini dan menginginkannya dan memandang ringan penderitaan
dunia demi meraihnya. Kemanakah pengakhiran kita? Kita yang memilih dan kita
jugalah yang mampu berfikir mana yang terbaik untuk kita kejar, syurga atau
neraka.
Wallahua’lam.
Kemana Pengakhiran kita?
Tukar LELAH kepada LILLAH.
Maka kau tak akan jumpa di mana LELAH.
Kerana yang kau jumpa hanya LILLAH.
............................................
Didik diri, perlukan tarbiyah.
Agar tak terlalu lemah.
Agar tak terus jatuh.
Agar mampu berdiri teguh.
Pada masa yang benar2 kau perlu tabah.
Pada masa yang memaksa untuk tidak memilih.
Supaya kaki terus melangkah.
Supaya kau jauh dari rebah.
...........................................
Kuat.
Kau tahu apa itu kuat?
Kuat itu adalah tidak lemah.
Kuat itu adalah tidak lemah.
Bila kau yakin dengan aturan Allah.
Bila kau yakin dengan bantuan Allah.
Bila kau hanya bergantung pada Allah.
Bila kau yakin dengan bantuan Allah.
Bila kau hanya bergantung pada Allah.
Lemah hanya untuk sedetik.
Sebab kau manusia.
Kuatlah untuk detik seterusnya.
Sebab kau ada Allah.
Sebab kau manusia.
Kuatlah untuk detik seterusnya.
Sebab kau ada Allah.
Allah hadirkan teman seperjuangan untuk kau kuat.
Tapi jangan lupa.
Allah tetapkan kehadirannya seiring dengan pemergiannya.
Tapi jangan lupa.
Allah tetapkan kehadirannya seiring dengan pemergiannya.
Bukan untuk kau terus lemah.
Tapi untuk kau terus kuat dengan ujian.
Tapi untuk kau terus kuat dengan ujian.
Saat ini.
Sejauh mana keyakinan kau dengan aturan Allah.
Sejauh mana kebergantungan kau pada Allah.
Sejauh mana kau yakin dengan pertolongan Allah.
Sejauh mana keyakinan kau dengan aturan Allah.
Sejauh mana kebergantungan kau pada Allah.
Sejauh mana kau yakin dengan pertolongan Allah.
Saat itu...
Kau perlu kuat.
Kau perlu kuat.
Dayana.
.................................................
Kau hanya perlu yakin..
Dengan janji Allah..
Bila mana langkah menemui kepenatan..
Kau hanya perlu yakin..
Bantuan Allah akan tiba..
Allah Tahu
Allah Bantu
Bersyukurlah..
Kesibukan yang kau hadapi..
Kesibukan untuk ummah..
Kesibukan kerana Allah...
Bukan kesibukan sia-sia...
Bukan kesibukan dngn perkara lagha..
Dengan janji Allah..
Bila mana langkah menemui kepenatan..
Kau hanya perlu yakin..
Bantuan Allah akan tiba..
Allah Tahu
Allah Bantu
Bersyukurlah..
Kesibukan yang kau hadapi..
Kesibukan untuk ummah..
Kesibukan kerana Allah...
Bukan kesibukan sia-sia...
Bukan kesibukan dngn perkara lagha..
Kenapa kau masih mengeluh?
Kenapa kau masih merungut?
Ikhlaskah hati mu?
Bersyukur atau menyesal kerana berada atas perjuangan ini?????
Kenapa kau masih merungut?
Ikhlaskah hati mu?
Bersyukur atau menyesal kerana berada atas perjuangan ini?????
Percayalah duhai diri..
Allah Tahu..
Allah Bantu..
Allah Tahu..
Allah Bantu..
.......................................
Jika ikutkan kondisi diri.
Dah lama lari.
Jauh membawa diri.
Penat, semput.
Tapi kaki xmampu melangkah pergi.
Kerana pasak nya bukan semata di hati.
Tapi di jiwa.
Mudah mudahan.
Hanya perlu sokongan.
Bukan makian yang akhirnya melemahkan.
Takut tak tahan, kaki terpaksa berlalu pergi.
Kerana diri hanya manusia yg punya hati.
Bukan tunggul yg mati.
.......................................
Pengorbanan.Perjuangan.
Jangan pernah rasa diri kita dah cukup bekorban.
Selagi masih punya kudrat, bergerak lah..berjalan lah, hadapilah segala apa yang bakal datang.
Kerana kita tak akan tahu, sampai tahap mana kekuatan yg dimiliki.
Selagi kekuatan itu dimohon dri Allah, yang Maha mengetahui tahap kemampuan kita.
Yakin segala yang berlaku adalah lukisan hidup dri Allah, usaha sahaja selagi mampu.
Moga terus diberi kekuatan pada diri yang lemah.
Moga tidak tergolong dalam golongan orang2 yang tercicir di jalan dakwah.
Penat,tapi belum tiba masa untuk berehat.
Bismillah. Moga langkah ini hanya kerana Nya.
.............................................
* Hanya cebisan-cebisan kata-kata dari diri sendiri untuk diri sendiri. Dikarang tika jiwa sedang kuat, untuk pujukan tika jiwa lemah. Ingin sekali mengarang kisah dalam setiap langkah perjalanan, kerana sungguh perjalanan ini penuh dengan pengajaran, teguran, ujian dari Allah. Yang datang untuk diambil iktibar dan dipelajari, bukan untuk dikesali.
Alhamdulillah...aturan Allah sangat indah. =)
kiki emoticon
KUAT.
Bismillahirrahmanirrahim...
Jika sebelum ni, aku coretkan coretan sebelum bermulanya langkah sebenar... Sungguh saat ini, tak terkata rasa keinginan untuk kongsi rasa hati tika berada di pertengahan langkah.
Berat namun nikmat.
Payah namun indah.
Tak tahu nak gambarkan perasaan ini. Benarlah orang kata, jalan ini tak mudah tapi indah. Sebelum ni aku hanya dengar pengalaman orang-orang yang berada atas jalan ini tanpa rasa sendiri duduk dan hadapi. Sedikit demi sedikit cuba utuk belajar, cuba untuk usaha samaksimum mungkin untuk buat yang terbaik. Tapi biasalah manusia, siapa yang tak pernah rasa kepala kelam kabut tak tahu nak buat apa dah. Jam mungkin...lagi-lagi bila kena dekat budak lembik longlai, kena pula jadi orang yang mesti setia berusaha.
Nak nanges...usaha...usaha...
Banyak perkara perlu belajar. Kejap dicampak kesana, kejap dicampak kesitu.. Bersedia untuk tidak bersedia, kata-kata yang sering disebut. Hakikat diri yang tak reti nak bertegas sangat, lagi-lagi bila berbeza umur, apatah lagi bila berbeza jantina. Namun amanah diri memaksa untuk bertegas, amanah diri memaksa untuk banyak berkerjasama dengan semua orang agar pengurusan berjalan lancar.
Sungguh, perubahan ini bukan satu perkara yang mudah untuk diubah. Sampai satu tahap, rasa tak mampu namun tak dapat lari. Sampai satu tahap, terasa seakan ingin duduk senyap tanpa buat apa-apa. Namun begitu, iman masih sedar tanggungjawab diri, masih sedar tugasan yang perlu dijalankan. Mana mungkin mudah, tidak... tidak seperti yang difikirkan di awal perjalanan.
Keikhlasan hati yang utama. Belajar berkorban sebelum orang lain terkorban. Tak dapat dinafikan, sangat banyak perkara yang dipelajari. Tugasan ini bukan tugasan amanah di dunia semata, tetapi juga tugasan dalam menyebar dakwah kesekelian ummat. Banyak ujian mendatang, lepas satu...satu. Berturut-turut. Tanpa sempat selesai, ujian lain mula menjengah.
Saat ini diri benar-benar rasa diuji. Sejauh mana keikhlasan diri selama berada dalam jalan ini. Sejauh mana penghayatan diri dalam meniti mehnah perjuangan ini. Sejauh mana pengorbanan yang sanggup diberi untuk memenuhi keperluan jalan ini.
Allahu..
Semoga langkah ini tidak berhenti saat ini, kerana destinasi yang ingin dicapai masih jauh untuk dikejar. Kembalikan hati pada Allah, yang Maha Tahu perihal hambaNya. Yang Maha Tahu kemampuan hamba Nya, Yang Maha Tahu perjalanan hamba Nya.
Semoga pengakhiran menemui kemanisan. Biarkan kepahitan menjelma diawal perjalanan...kerana tiada ubat yang manis. Tarbiyah perlukan usaha, tarbiyah perlukan kerelaan hati. Relakan diri mu ditarbiyah sepanjang berada di atas jalan ini.
Jangan sesekali tarbiyah itu dicampur aduk dengan kemaksiatan, kerana maksiat itu racun buat hati yang sedang mencari Ilahi. Kebatilan tak akan boleh dicampur dengan yang haq.
Selamat Berjuang duhai diri...
Selamat Berjuang...
Bismillah
Hari-hari berlalu dengan penuh kisah-kisah yang berbeza. Tak tahu kenapa, minat diri kali ini lebih kepada ingin berkongsi kisah sendiri sebagai pengajaran. Mungkin kerana tak mampu lagi untuk menipu diri dengan nasihat tanpa pengalaman yang akhirnya buat diri tertunduk malu. Walaupun setiap yang berlaku atas aturan Allah sentiasa menundukkan diri kerana malu dengan diri sendiri.
Menghadap Ilahi pun berkira tapi tak berhenti meminta. Allahu...
Ya, kerana kita hanya hamba. Mana mungkin meninggi diri sedang ada yang Maha Tinggi sedang memerhati. Siapalah aku yang bukan siapa-siapa..
Moga usaha kecil ini sedikit sebanyak menjadi sahamku saat dihisab nanti.
Moga coretan ringkas ini bakal menjadi peringatan terutama buat diri ini yang mudah alpa.
Moga lakaran hati ini mampu dilukis dan diterjemah oleh hati-hati yang dahagakan peringatan.
Bukan ramainya pembaca yang aku harapkan, tetapi usaha kecil ini sahaja kemampuan ku setakat ini untuk berkongsi panjang.. sekadar menyampaikan walau satu ayat.
Sebelum ni, soal perjuangan yang banyak dikongsi. Namun sejauh mana kefahaman kita dengan kata 'perjuangan' itu?
Jika ditanya, amat sukar untuk diperincikan soal perjuangan. Mungkin kerana perkara tersebut perlu dipelajari dengan pengalaman. Sebut soal perjuangan, jangan lupa soal keikhlasan. Satu lagi perkataan yang tak terungkap dan tak mampu dilihat. Natijahnya, kita akan bertemu pula dengan kata 'ukhuwah' juga kata istimewa buat insan yang merasainya.
Namun, sebelum pergi kepada 3 kata istimewa itu.. pentingnya untuk memahami secara mendalam dari mana kita datang, kenapa kita di dunia, dan kemana kita akan pergi selepas dunia. 3 soalan dan jawapannya cukup untuk kita berada di landasan yang benar. Kerana andai kita tak tahu jawapan kepada 3 soalan tersebut... ibarat berjalan tanpa arah tuju. Dan kerana 3 soalan ini juga sering difikirkan manusia dalam mengatur urusan dunia.
1. Dari mana kita datang?
" Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu air mani ( benih ) yang sedikit dipandang orang; Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan kepadanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur"( As-Sajadah : 7-9 )
2. Kenapa kita di dunia?
" Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"( Az-Zariyat : 56 )
3. Kemana kita akan pergi selepas mati?
" Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya)."( Al-Insyiqaq : 6 )
Jelas bahawa, kita datang dari Allah, punyai tugasan sebagai hamba dan khalifah dimuka bumi dan pasti akan kembali kepada Allah.
Jika ditanya kemana ingin kita pergi setelah dibangkitkan, pasti dan sangat pasti tiada yang bermimpi untuk ke neraka. Syurga jawapan yang pasti. Namun, sajauh mana keinginan kita itu membuahkan amalan, atau sekadar angan-angan tanpa tindakan?
Bekalan di dunia, hasil dinikmati di akhirat kelak.
Dunia tempat berpenat, akhirat tempat nikmat.
Sungguh manusia itu sering lupa, manusia itu mudah alpa, manusia itu perlu peringatan. Kerana itu tugasan kita hamba dan khalifah. Sentiasa mengharapkan rahmat Allah juga menyebarkan dan mengajak. Islah diri dan ajak yang lain.
Ramai yang perbaiki diri namun terlupa untuk mengajak yang lain turut sama mengislah diri.
Ramai juga lupa untuk perbaiki diri namun sentiasa mengajak yang lain ke arah mengislah diri.
Hakikatnya, dua perkara tersebut perlu berjalan seiring.
Penting untuk kita tarbiyah diri kerana sukarnya seseorang itu melalui hijrah tanpa tarbiyah. Tarbiyah sebagai latihan, training untuk kita mengumpul sebanyak mungkin bekalan bukan sahaja untuk akhirat, tetapi juga untuk menghadapi mehnah dan cabaran di dunia ini. Betapa pentingnya asas yang kukuh dalam diri agar kita tahu mana nak tuju, kita tahu apa fokus kita dalam kehidupan ini.
Kerana tatkala diri terasa berat akan amanah yang dipikul, kita tak akan semput ditengah jalan. Kita punya ubat yang mujarab dalam diri untuk meneruskan langkah perjuangan. Saat ini, moga kita bertemu dengan kemanisan ukhuwah yang tersangat manis.
Wallahua'lam.
Siapa kita...
Seandainya...
dulu kau turuti kemahuanmu
Tanpa sedikit rasa bergantung
pada Penulis takdirmu
Seandainya..
dulu keyakinanmu tiada
pada Tuhan yang Maha Tahu
pada perihal makhlukNya
Seandainya...
tiada hidayah yang mengetuk jiwamu
sebelum kau sampai kini
kemana agaknya engkau
Seandainya...
gerak hatimu hanya kau sahaja kawal
membuat pilihan atas diri
tiada percaya pada takdir Tuhan
Kau tiada di sini.
Lihatlah diri mu kini
Dimana kau berdiri kini
Perihal apa kau kini
Sedarlah
Itu semua aturan Tuhan
Itu semua hadiah Tuhan
Itu semua nikmat Tuhan
Atas diri yang dicintai
Atas diri yang dirahmati
Atas diri yang dikasihi
Bersyukurlah duhai diri...
Terimalah takdir ini...
Kerna kau insan terpilih..
Untuk berada atas bumi ini...
Lafazkan duhai jiwa..
Alhamdulillah 'ala kulli hal.
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
Seandainya..
Subscribe to:
Posts
(
Atom
)






