PENGHARAP REDHA NYA
Semoga segala yang tercatat memberi manfaat.
Coretan dari hati untuk hati

Siapa kita...

No comments



Bismillah

Hari-hari berlalu dengan penuh kisah-kisah yang berbeza. Tak tahu kenapa, minat diri kali ini lebih kepada ingin berkongsi kisah sendiri sebagai pengajaran. Mungkin kerana tak mampu lagi untuk menipu diri dengan nasihat tanpa pengalaman yang akhirnya buat diri tertunduk malu. Walaupun setiap yang berlaku atas aturan Allah sentiasa menundukkan diri kerana malu dengan diri sendiri.

Menghadap Ilahi pun berkira tapi tak berhenti meminta. Allahu...

Ya, kerana kita hanya hamba. Mana mungkin meninggi diri sedang ada yang Maha Tinggi sedang memerhati. Siapalah aku yang bukan siapa-siapa..

Moga usaha kecil ini sedikit sebanyak menjadi sahamku saat dihisab nanti.

Moga coretan ringkas ini bakal menjadi peringatan terutama buat diri ini yang mudah alpa.

Moga lakaran hati ini mampu dilukis dan diterjemah oleh hati-hati yang dahagakan peringatan.

Bukan ramainya pembaca yang aku harapkan, tetapi usaha kecil ini sahaja kemampuan ku setakat ini untuk berkongsi panjang.. sekadar menyampaikan walau satu ayat.

Sebelum ni, soal perjuangan yang banyak dikongsi. Namun sejauh mana kefahaman kita dengan kata 'perjuangan' itu?

Jika ditanya, amat sukar untuk diperincikan soal perjuangan. Mungkin kerana perkara tersebut perlu dipelajari dengan pengalaman. Sebut soal perjuangan, jangan lupa soal keikhlasan. Satu lagi perkataan yang tak terungkap dan tak mampu dilihat. Natijahnya, kita akan bertemu pula dengan kata 'ukhuwah' juga kata istimewa buat insan yang merasainya.

Namun, sebelum pergi kepada 3 kata istimewa itu.. pentingnya untuk memahami secara mendalam dari mana kita datang, kenapa kita di dunia, dan kemana kita akan pergi selepas dunia. 3 soalan dan jawapannya cukup untuk kita berada di landasan yang benar. Kerana andai kita tak tahu jawapan kepada 3 soalan tersebut... ibarat berjalan tanpa arah tuju. Dan kerana 3 soalan ini juga sering difikirkan manusia dalam mengatur urusan dunia.

1. Dari mana kita datang?

" Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu air mani ( benih ) yang sedikit dipandang orang; Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan kepadanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur"
( As-Sajadah : 7-9 )

2. Kenapa kita di dunia?

" Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"
( Az-Zariyat : 56 )


3. Kemana kita akan pergi selepas mati?

" Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya)."
( Al-Insyiqaq : 6 ) 

Jelas bahawa, kita datang dari Allah, punyai tugasan sebagai hamba dan khalifah dimuka bumi dan pasti akan kembali kepada Allah.

Jika ditanya kemana ingin kita pergi setelah dibangkitkan, pasti dan sangat pasti tiada yang bermimpi untuk ke neraka. Syurga jawapan yang pasti. Namun, sajauh mana keinginan kita itu membuahkan amalan, atau sekadar angan-angan tanpa tindakan?

Bekalan di dunia, hasil dinikmati di akhirat kelak.

Dunia tempat berpenat, akhirat tempat nikmat.

Sungguh manusia itu sering lupa, manusia itu mudah alpa, manusia itu perlu peringatan. Kerana itu tugasan kita hamba dan khalifah. Sentiasa mengharapkan rahmat Allah juga menyebarkan dan mengajak. Islah diri dan ajak yang lain.

Ramai yang perbaiki diri namun terlupa untuk mengajak yang lain turut sama mengislah diri.
Ramai juga lupa untuk perbaiki diri namun sentiasa mengajak yang lain ke arah mengislah diri.
Hakikatnya, dua perkara tersebut perlu berjalan seiring.

Penting untuk kita tarbiyah diri kerana sukarnya seseorang itu melalui hijrah tanpa tarbiyah. Tarbiyah sebagai latihan, training untuk kita mengumpul sebanyak mungkin bekalan bukan sahaja untuk akhirat, tetapi juga untuk menghadapi mehnah dan cabaran di dunia ini. Betapa pentingnya asas yang kukuh dalam diri agar kita tahu mana nak tuju, kita tahu apa fokus kita dalam kehidupan ini.

Kerana tatkala diri terasa berat akan amanah yang dipikul, kita tak akan semput ditengah jalan. Kita punya ubat yang mujarab dalam diri untuk meneruskan langkah perjuangan. Saat ini, moga kita bertemu dengan kemanisan ukhuwah yang tersangat manis.

Wallahua'lam.











No comments :

Post a Comment