PENGHARAP REDHA NYA
Semoga segala yang tercatat memberi manfaat.
Coretan dari hati untuk hati

HAMASAH DAN THAQOFAH, DI MANA PERKAITANNYA?

No comments


Teks ceramah individu.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
إنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ  فَلاَ هَادِيَ لَهُ ،َأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.، أَمَّا بَعْدُ
Segala puji kita panjatkan kehadrat Allah SWT atas segala nikmatnya yang telah diberikan kepada kita semua. Nikmat sehat, nikmat taufik hidayah inayah, dan nikmat yang paling besar adalah nikmat Iman & Islam. Alhamdulillah. Pertamanya, ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya memberi ceramah pada hari ini. Seterusnya, terima kasih kepada hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian atas kesudian untuk menghadirkan diri dalam majlis ilmu ini. Tahniah beribu tahniah saya ucapkan kepada anda atas kehadiran anda pada hari ini, sesungguhnya kalian adalah insan terpilih yang telah digerakkan oleh Allah hati-hati kalian untuk bersama-sama pada hari ini. Berapa ramai diluar sana yang lalai dengan kenikmatan dunia yang sementara? Berapa ramai diluar sana yang tak tergerak sedikit pun untuk duduk dalam majlis sebegini? Berapa ramai di luar sana yang masih lena dibuai mimpi indah dalam selimut keduniaan? Tetapi Alhamdulillah, Allah beri hidayah kepada kita untuk sama-sama berdiskusi dan bersama-sama berkongsi ilmu dalam majlis yang penuh dengan barakah ini. In Shaa Allah. Sungguh, nikmat iman dan islam itu merupakan nikmat terbesar yang kita peroleh. Alhamdulillah.
Saudara saudari yang dikasihi Allah sekalian,
Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa audians pada hari ini majoritinya mengambil Pengajian Islam Dakwah. Terasa kerdil diri ini apabila berhadapan dengan jiwa-jiwa yang hebat. Jiwa-jiwa yang punya misi ummatik dalam diri mereka. Semoga Allah menjauhkan kita daripada menjadi hamba-hambaNya yang lalai dengan kenikmatan dunia. Saya mengambil masa yang agak lama untuk memikirkan tajuk yang sesuai untuk saya bawa dan sampaikan kepada kalian. Seringkali kita mendengar ungkapan ‘jalan dakwah tidak terbentang dengan karpet merah’, namun sejauh mana kita memahami ungkapan ini sebagai seorang pendakwah? Alhamdulillah Allah ilhamkan kepada saya untuk membawa tajuk, ‘ Hamasah dan Thaqofah, di Mana Perkaitannya?’ Tiga perkara yang akan saya perincikan pada hari ini adalah yang pertama, apa yang dimaksudkan dengan hamasah dan thaqofah. Yang kedua, dimana perkaitannya dan dimana kepentingannya dan yang terakhir adalah bagaimana untuk kita terus istiqomah diatas jalan dakwah.
Saudara saudari yang saya hormati sekalian,
Apa yang dimaksudkan dengan hamasah? Apa pula yang dimaksudkan dengan Thaqofah? Dua perkataan yang saling berkait, saling bersandaran dan saling memerlukan. Hilang satu, tempanglah yang satu lagi. Hamasah bermaksud semangat dalam diri yang mendorong kita untuk terus melakukan sesuatu perkara walau ditimpa pelbagai halangan dan dugaan.  Sifat ini ada dalam diri setiap daripada kita, terutamanya bagi orang muda seperti kita. Untuk pengetahuan saudara saudari, dalam diri orang muda ada satu sifat istimewa iaitu sifat ‘gila’. Apabila melakukan sesuatu, orang muda mempunyai semangat gila-gila yang sangat tinggi. Sebab itulah jika kita perhatikan sekarang, kebanyakan masalah social adalah daripada orang muda kerana rasa ingin mencuba sesuatu yang baru itu sangat tinggi. Yang menjadi kayu ukurnya adalah, kemana kegilaan itu disalurkan dan bagaimana kegilaan itu digunakan untuk perkara-perkara yang baik.
Hamasah yang ingin saya tekankan pada hadirin adalah hamasah syabab, semangat seorang pemuda dalam melakukan dan meneruskan jalan perjuangan dakwah. Maka hamasah ini perlu didasari dengan keimanan dan ketaqwaan yang tinggi kepada Sang Pencipta, Allah s.w.t. Kerana tanpa dasar yang kuat, maka lemahlah jiwa dan mudahlah untuk kita tergolong dalam golongan yang tercicir di jalan dakwah. Jika kita telusuri sejarah-sejarah kegemilangan islam satu masa dahulu, kita akan bertemu dengan tokoh-tokoh pemuda yang meletakkan diri mereka sebagai pendokong agama. Syahidnya mereka kerana memperjuangkan keagungan islam, menyebarkan islam kepada ummat manusia.  Contohnya seperti Salahuddin Al-Ayubi, Umar bin Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al-Fateh. Sungguh, tanpa hamasah yang utuh seperti tokoh-tokoh islam yang sebutkan tadi, mana mungkin islam dapat diangkat tinggi. Sejauh mana kita sebagai seorang pemuda mempunyai himmah yang tinggi dalam memartabatkan islam untuk mendorong hamasah terus membara dalam diri.

Sidang Hadirin yang saya hormati sekalian,
Apa pula yang dimaksudkan dengan thaqofah?  Thaqofah bermaksud ilmu pengetahuan. Ilmu lah yang mengawal akal kita seterusnya mengawal setiap perbuatan kita. Apabila seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi tentang islam, maka akan lahirlah kefahaman. Kejahilan adalah halangan dan hijab yang menghalang kefahaman kita terhadap diri dan alam. Halangan ini bukan sahaja membina tembok kefahaman, tetapi juga menimbulkan masalah dalam komunikasi dan perhubungan dengan masyarakat. Sedangkan kita diberi amanah oleh Allah untuk menjadi khalifah dimuka bumi, untuk memakmurkan dan mengimarahkan bumi ini. Manusia yang dikehendaki islam adalah manusia yang maju, yang menguasai ilmu sebagai amanah Allah. Bukanlah manusia yang dikuasai oleh persekitarannya atau oleh nature dan tabi’i yang melingkunginya. Kekuatan yang dilengkapkan oleh Allah untuk manusia adalah ketinggian dan kemajuan ilmunya.
Saudara Saudari yang dirahmati Allah sekalian,
Kita masuk kepada isi  yang kedua, antara hamasah dan thaqofah, dimana perkaitannya dan dimana kepentingannya? Saya petik kata-kata Imam Hassan Al-Banna, “Tanggungjawab itu lebih banyak dari masa yang ada” Hidup sebagai seorang manusia, kita diberi oleh Allah masa yang sama panjangnya, 24 jam sehari. Tiada orang yang hanya mempunyai 10 jam sehari dan tidak ada orang yang mempunyai 30 jam sehari. Kita semua sama namun, bagaimana seseorang itu boleh melakukan banyak perkara dalam satu hari, sedangkan ada pula yang merungut tidak cukup masa untuk menyiapkan tugasan. Disini, perlu kita koreksi semula, kemana masa kita dihabiskan dan sejauh mana keberkatan masa itu kita peroleh. Sungguh, jika kita hanya menunggu masa yang lapang takkan dapat untuk kita melaksanakan tanggungjawab yang telah Allah letak di atas bahu-bahu kita. Hamba dan Khalifah. Kadang kita rasa tugasan kita sekarang hanya sebagai seorang pelajar yang perlu menuntut ilmu. Namun sedar tak sedar, berapa ramai di luar sana yang menanti ajakan, tarikan, dorongan daripada kita untuk berjalan seiring menuju syurga Allah. Masa itu perlu di susun, agar keberkatannya ada, agar kita tidak menjadi insan yang hanya memperbaiki diri, menambah kebaikan diri tetapi juga sempat turun kelapangan untuk menarik tangan-tangan yang sudah lama tunggu disambut.
Kerja dakwah sangat memerlukan keikhlasan hati yang tinggi kerana kerja-kerja ini bukanlah kerja yang mudah. Saya petik kata-kata Mustafa Masyhur dalam buku nya, Bekalan di sepanjang perjalanan dakwah:
“ Di atas jalan dakwah kita memerlukan ilmu yang bermanfaat, yang perlu untuk sahibuddakwah, penyeru ke jalan Allah di atas hujah yang nyata. Tidaklah mencukupi dengan hanya membaca kitab dengan banyaknya, tanpa disertai dengan taqwa kepada Allah dan niat yang ikhlas kerana Allah, kelak Allah akan menambah kurniaan ilmu, nur, cahaya, dan taufiqNya.”
Firman Allah dalam surah Al-baqarah, ayat 282 mafhumnya:
“ Dan bertaqwalah kamu kepada Allah kerana Allah mengajar kamu dan Allah mengetahui segala sesuatu”
 Sesuatu gerakan dakwah tak akan berjaya jika tenteranya hanya mempunyai hamasah yang tinggi namun tiada thaqofahnya. Hari ini, ramai dikalangan kita yang menjadi penyokong agama tetapi tak ramai yang sanggup untuk menjadi pendokong agama. Ramai yang melaungkan islam, tetapi disebalik laungan itu berapa ramai yang benar-benar mengorak langkah untuk mengambil tindakan? Inilah yang terjadi bilamana kita mempunyai hamasah, tetapi tiada thaqofah. Tiada kefahaman dalam perjuangan. Sesungguhnya, semangat yang terpandu dengan kefahaman, akhirnya akan menemui keikhlasan. Namun semangat yang tidak terpandu dengan kefahaman, akhirnya hanya menemui kejahilan, kekufuran dan kefuturan.
Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian,
Tidak ada futur sekiranya kita mempunyai maknawi yang tinggi. Kita semua tahu kewajipan untuk menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi yang kurang dalam diri kita sekarang adalah ilmu yang tinggi. Namun, masyarakat semakin hari semakin jauh daripada ruh islam. Jika kita tidak ambil tindakan untuk meningkatkan kefahaman tentang islam sekarang, maka selamanya kita akan menjadikan kurang ilmu itu sebagai alasan untuk terus duduk melihat keadaan sekitar. Kita menanti orang untuk mentarbiyah diri kita sedangkan tarbiyah itu perlu dicari dan diusahakan. Sebab itu hadirin sekalian, atas kesedaran tanggungjawab ini perbaikilah diri, tingkatkan kefahaman diri dan bertebaran lah turun ke lapangan. Sampai bila kita harus tunggu? Tunggu masa yang menentukan sedangkan sebenarnya kitalah yang menentukan. Usaha atau tidak yang membezakan kita. Banyakkan membaca buku-buku haraki, buku-buku yang ditulis oleh ulama’ terkemuka agar seimbang pengisian dan pemberian. Jangan bergerak dengan jiwa yang kosong, kelak di tengah jalan kita akan tersadung. Mungkin bangkit semula untuk terus melangkah atau bangkit semula hanya untuk mengaku kalah.
Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian,
Saya masuk pula isi yang ketiga, bagaimana untuk kita terus istiqomah dalam jalan dakwah. Istiqomah itu tak mudah, sebab itulah kita memerlukan bekalan. Bekalan di sepanjang perjalanan dakwah. Kenapa kita perlukan bekalan? Kerana jalan dakwah itu tak selalunya indah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 214:
“ Apakah kamu sangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu keadaan seperti mereka yang telah lalu terdahulu daripada kamu, mereka ditimpa malapetaka dan kesengseraan serta digoncangkan (dengan berbagai cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya; bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”
Bekalan utama yang perlu bagi seorang daie pastinya iman dan taqwa yang akan memancarkan segala kebaikan dalam hati, menetapkan matlamat dan niat dalam diri, menambah keazaman dan kemahuan seterusnya memudahkan gerakan langkah kita. Ujian yang datang menyerabutkan fikiran namun kita masih mampu untuk tersenyum, redha dengan pemberian Allah. Kerana pasti disetiap ketentuan Allah pasti tersimpan seribu satu hikmah. Tinggal kita yang perlu cari.
Seterusnya, bekalan yang kita perlu adalah merasai kehadiran Allah di setiap langkah. Apabila kita merasai penyertaan Allah, kita tidak akan rasa kekurangan sedikit pun. Namun, penyertaan Allah ini hanyalah diberikan kepada orang yang beriman, bertaqwa serta beramal soleh. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 127-128:
“ Dan bersabarlah, dan tiadalah kesabaranmu itu kecuali kerana Allah dan janganlah merasa dukacita ke atas mereka dan janganlah kamu merasa susah dengan tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bertaqwa dan berbuat baik “
Seorang pendakwah sangat terdedah dengan sifat malas, lemah semangat, lesu dan pelbagai lagi penyakit hati. Namun, sikap para dai’e yang saling mengingati kearah kebaikan dan nasihat menasihati mampu menghalang kita untuk terus futur. Kerana itulah ukhuwah islamiyah juga sangat penting. Kita tak akan mampu sekiranya berseorangan dalam perjalanan, oleh itu berkumpulan lah dan berjemaahlah agar kita punya kesatuan hati yang teguh untuk terus bangkit.
Saudara saudari yang dirahmati Allah sekalian,
Ceramah saya sudah hampir ke penghujungnya. Semoga perkongsian ini menjadi titik bermulanya perjuangan kalian. Hamasah dan thaqofah perlu seiring, agar islam dapat terus meluas menentang arus dunia yang semakin parah. Bertebaranlah kalian namun jangan biarkan tanpa ikatan. Wallahua’lam.
Wabilahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


RUJUKAN
1. Bekalan di Dalam Perjalanan Dakwah, Mustafa Masyhur, 1985, Pustaka Salam
2. Pesan Hati Untuk Hati, Pahrol Muhammad Juoi, 2014, Telaga Biru Sdn. Bhd.
3. Hadis 40 Imam Nawawi, Zahzan Mohamed, 2011,Telaga Biru Sdn. Bhd.
4. Di Bawah Naungan Islam, Mohd Nakhaie Ahmad, 1998, Percetakan Yayasan Islam Terengganu.


No comments :

Post a Comment

Kemana Pengakhiran kita?

No comments


“ Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya. Kalaulah mereka mengetahui.”
 ( Surah al-Ankabut : 64 )

Allah menerangkan di dalam kalamnya bahawa dunia ini ibarat permainan, ibarat hiburan yang pastinya sementara dan akhirat sana adalah kehidupan kita yang sebenar-benarnya. Di akhir ayat, Allah menyebut, kalaulah mereka mengetahui. Ayat ini menunjukkan betapa hakikatnya manusia itu tahu namun seringkali terlupa hanya kerana kenikmatan dunia yang sementara dirasakan seolah-olah selamanya. Bermulanya kita pasti ada pengakhirannya, sama ada pengakhiran yang baik atau pengakhiran yang buruk? Jika bermulanya kita tanpa memikirkan dan merancang pengakiran kita, adakah kita yakin pengakhiran yang baik yang akan kita temui nanti? Yakinkah kita syurga yang menanti kita di akhirat nanti?

Syurga dipagari dengan perkara yang tidak disukai, manakala neraka dipagari dengan keseronokan syahwat. Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata :
“ Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal”

Saidina Ali menyebut bahawa kebaikan yang kita lakukan akan terus kekal sama ada manfaatnya kepada orang lain akan kekal dan pahalanya akan kekal sehingga diakhirat kelak. 

Saya bawakan satu kisah yang berlaku ketika perang Qadisiyah. Sa’ad bin Abi Waqqas memerintahkan Rabi’ bin Amir untuk menghadap Rustum, panglima perang Parsi. Rustum bertanya kepada Rabi’ tentang tujuan kedatangan pasukan Islam ke negaranya. Dengan lantang Rabi’ menjawab, “Kami datang untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah. Kami ingin membebaskan manusia dari dunia yang sempit menuju akhirat yang luas serta daripada kezaliman kepada Islam”.

Namun, realiti sekarang menunjukkan walaupun kita tidak ditawan oleh pemerintah yang zalim, tetapi kita telah ditawan oleh kecintaan dunia dan penghambaan kepada dunia. Kita terperangkap dalam kesesakan dunia yang memaksa untuk meninggalkan dan memikirkan kenikmatan apa yang akan kita peroleh di akhir nanti. Umat sendiri semakin alpa dengan kenikmatan dunia yang sementara sehingga melupakan kenikmatan syurga yang kekal abadi.

Mengapa Perlu Merancang Pengakhiran?

Kita hakikatnya warganegara akhirat, bukan dunia. Kerana dunia diciptakan untuk manusia tetapi manusia diciptakan untuk akhirat. Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang hakiki dan abadi. Sedarlah bahawa kita mempunyai kehidupan yang pertama dan kehidupan yang kedua. Kehidupan yang pertama adalah di dunia manakala kehidupan kedua adalah di akhirat sana. Bagaimana kita hanya mementingkan kenikmatan dalam kehidupan pertama dan lupa untuk merancang dan memikirkan kehidupan yang kedua?

Dunia ibarat jambatan yang menuju samada ke syurga ataupun neraka. Kehidupan pula ibarat perjalanan kita diatas jambatan tersebut. Setiap langkah yang kita lakukan dalam perjalanan yang tiada henti ini, semaki kita mendekati destinasi terakhir. Namun kita tidak diberi pengetahuan sampai bila kaki kita akan terus melangkah. Setiap manusia Allah tetapkan garis penamatnya, garis penamat yang kita tidak tahu dimana. Apabila kita berada dalam perjalanan, pastinya dihujung menenati destinasi yang ingin kita tuju. Namun yakinkah kita destinasi itu adalah syurga bukan neraka? Jika tiada bekalan yang disediakan daripada sekarang, bagaimana destinasi kita kelak? Yang menjadi kayu ukurnya adalah keimanan dalam hati dan amalan bagi setiap anggota kita.

Kerana itulah, dunia ini tempat untuk kita banyak-banyak mengumpul pahala dan melakukan amal soleh.  Manakala mereka yang tidak yakin adanya hari kebangkitan akan mensia-siakan masa yang ada dengan melakukan berbagai kemaksiatan kepada Allah. Dunia yang asalnya tempat untuk mengumpul bekalan pahala, dijadikan tempat untuk menjana seberapa banyak dosa. Na’uzubillah, semoga kita dijauhkan daripada mereka yang mensia-siakan kehidupan.

Ibaratnya seperti kita ingin melancong ke luar Negara. Pasti kita akan membawa barang keperluan secukupnya sebagai persediaan ke sana. Sekiranya kita tahu disana sedang menghadapi musim sejuk, maka kita akan bersedia dengan baju sejuk. Sekiranya kita tahu mata wang di sana menggunakan mata wang dollar, kita akan membuat persediaan awal untuk menukar dahulu wang tempatan sebelum sampai kesana. Begitulah ibaratnya kehidupan di dunia yang hanya sebagai tempat persinggahan sebentar, tempat lawatan sebentar. Pakaiannya adalah taqwa dan mata wangnya adalah pahala. Firman Allah dalam surah Al-Dhuha, ayat 4:
            “ Dan akhirat itu lebih baik bagimu (wahai Muhammad) daripada dunia”

Hakikatnya, semua agama percaya kepada kehidupan akhirat atau kebangkitan semula. Agama Hindhu percaya bahawa mereka perlu mencapai mokhsha untuk keluar daripada dunia dan mendapat kenikmatan kemudian, agama Buddha pula percaya bahawa mereka perlu mencapai nirvana sebagai penyatuan dengan Tuhan mereka. Begitu juga agama Nasrani dan Yahudi, mereka juga mempercayai kehidupan di akhirat. Mengapa ini semua berlaku? Kerana fitrah manusia inginkan keadilan yang mutlak namun keadilan ini tiada di dunia. Seringkali yang salah di pandang baik dan yang betul di pandang  buruk. Jika kita telusuri sejarah dahulu, kita dapat lihat peristiwa-peristiwa yang tragis berlaku tanpa keadilan. Berapa ramai manusia yang telah ditindas namun tiada pembelaan terhadap mereka? Berapa ramai umat islam, tokoh-tokoh ilmuwan islam yang telah dibunuh dengan kejam oleh orang kafir namun tiada penghukuman dikenakan keatas mereka?

Atas sebab ini, manusia tidak puas dengan hakikat kejadian yang berlaku seterusnya mengharapkan kehidupan kedua yang membawa keadilan yang sebenarnya. Timbul pelbagai persoalan dalam minda manusia, mengapa Allah tak menegakkan keadilan di dunia? Mengapa orang yang mungkar tidak mendapat pembalasan yang segera? Mengapa orang yang baik tidak mendapat ganjaran segera? Mengapa perlunya segala penangguhan ini? Namun sebagai seorang hamba, siapa kita ingin mempersoalkan segala ketentuan Allah. Mungkin bagi kepercayaan lain, mereka sungguh-sungguh merasai semua yang berlaku tidak sepatutnya berlaku, tetapi bagi kita umat islam kita yakin bahawa setiap yang berlaku terselindung seribu satu hikmah. Kehidupan kita bukan untuk di dunia semata, tetapi untuk diakhirat sana. Firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 42-43:
“ Dan janganlah engkau menyangka bahawa Allah lalai daripada perbuatan orang yang zalim, mereka Cuma ditakhirkan (diberi penangguhan) sampai kepada hari yang padanya terbeliak kaku pandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongak kepala mereka dengan mata yang tak berkelip dan hati mereka kosong”

Korbankan Kenikmatan Sementara

Apabila kita yakin pembalasan Allah akan datang di akhirat nanti, kita akan terdorong untuk terus melakukan kebaikan walau dibenci, ditindas diatas dunia yang sementara ini. Untuk kenikmatan yang kekal abadi, kita sanggup korbankan kenikmatan yang sementara.  Firman Allah dalam surah Al-Muzammil, ayat 20:
“ Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasannya) di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya”

Kehidupan di dunia kadang kala memaksa kita untuk melakukan kemungkaran kepada Allah. Pengaruh buruk yang semakin berlelusa, penindasan yang dilakukan keatas orang yang berkata benar dan banyak lagi. Namun sekiranya kita yakin ada ganjaran dan habuan yang akan kita peroleh di akhirat nanti, kita akan dapat meninggalkan pandangan manusia di dunia dan hanya mementingkan pandangan Allah. Daripada Ibnu Umar r.a. beliau berkata, bahawa Rasulullah memegang belakang beliau lalu bersabda:
“Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara”. Lalu Ibnu Umar r.a. berkata : “Jika engkau telah berada di waktu petang, maka janganlah dinantikan waktu pagi. Jika enkau berada di waktu pagi, maka janganlah dinantikan waktu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakit dan waktu hidupmu sebelum mati”
( Riwayat Al-Bukhari no. 6416 dan Al-Tarmizi no. 2333)

Hadis ini mencakupi pelbagai jenis kebaikan dan nasihat. Kandungan hadis ini sebagai tapak untuk tidak terlena di dunia kerana setiap muslim tidak sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang kekal abadi. Imam Abdul Hasan ‘Ali bin Khalaf dalam Syarah Bukhari berkata bahawa Abu Zinad berkata: “ Hadis ini bermakna menganjurkan agar sedikit bergaul dan sedikit berkumpul dengan orang-orang awam serta bersikap zuhud kepada dunia”. Gunakanlah kesempatan hidup ini untuk berbakti kepada Allah. Biar banyak rintangannya, jerih payahnya, kerana syurga itu mahal dan perlukan kesungguhan untuk mendapatkannya.

Tanda-tanda Menjadi Hamba Dunia

Tanpa kita sedar, kadang-kala kita telahpun menjadi hamba kepada dunia. Tingkah laku kita seharianlah yang menjadi bukti perhambaan kita. Kerana yang menjadi perbezaan kita adalah taqwa dan keimanan dalam hati. Taqwa dan imanlah yang akan mempengaruhi segala perilaku kita, segala gerak hati kita. Antara tanda-tanda kita sudah menjadi hamba kepada dunia adalah:
1. Kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak ada masa untuk membuka helaian al-Quran dan mentadabbur ayat-ayat cinta Allah.
2. Hilang rasa bersalah sekiranya kita melakukan dosa-dosa kecil. Terlalu memikirkan dosa sehingga kita lupa bahawa matlamat hidup ini adalah untuk mencapai redha Allah, tak kiralah dosan kecil atau dosa besar.
3. Yakin bahwa mati dan kiamat masih lambat dan masih punya banyak masa untuk bertaubat. Kita terlalu sibuk memikirkan tanda-tanda kiamat sehingga terlalu yakin bahawa selagi tanda-tanda ini belum tiba, nyawa kita masih panjang. Taubat ditangguh-tangguh.
4. Solat yang tergesa-gesa untuk segera melakukan urusan dunia. Menganggap solat itu hanya pergerakan solat, bukan pertemuan dengan Allah. Sedang orang yang beriman akan rasa tidak sabar-sabar untuk bertemu dan berdialog dengan kekasih hati di dalam solat.

Dunia umpama tempat membayar, akhirat umpama tempat berseronok. Sesungguhnya nikmat dunia tidak akan tercapai akal dan imaginasi, kata-kata atau apa sahaja yang dapat dijangkau oleh pancaindera manusia. Syurga lebih indah dan nikmat daripada apa yang boleh kita bayangkan. Oleh sebab itu, mereka yang benar-benar meyakini dan menginginkannya dan memandang ringan penderitaan dunia demi meraihnya. Kemanakah pengakhiran kita? Kita yang memilih dan kita jugalah yang mampu berfikir mana yang terbaik untuk kita kejar, syurga atau neraka. 

Wallahua’lam.






No comments :

Post a Comment