PENGHARAP REDHA NYA
Semoga segala yang tercatat memberi manfaat.
Coretan dari hati untuk hati

Seruan

No comments




Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Bersyukurlah atas peluang yang masih Allah beri untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini.

 Setiap orang punya kisah yang berbeza setiap hari. Terpulang pada diri kita bagaimana kita menterjemahkan peristiwa yang berlaku ke atas diri setiap hari sebagai ibrah dan pengajaran mahupun teguran yang Allah ingin tunjukkan pada kita. Setiap hari mahupun setiap saat kita perlu membuat pilihan dalam kehidupan.

Lain orang lain kisahnya, lain orang lain cara menghadapinya.

Satu perkara yang ingin saya kongsikan adalah berkaitan 'seruan'. 

Seru, ajak, dakwah.

Perbuatan yang memerlukan dua atau lebih manusia. Sama ada sebagai penyeru atau yang diseru. Nampak mudah namun apabila melibatkan interaksi antara dua pihak, perlu satu tekad yang teguh bagi pihak yang bergelar penyeru. Kerana?

Manusia punya kisah berbeza, manusia punya sikap berbeza yang hadirnya dari hati yang berbeza. Namun yang menjadikan mereka sama adalah iman dan islam dalam jiwa. Bila mana sebut berkaitan hati, tak akan mampu untuk kita ubah melainkan dengan kehendak Allah. 

Jadi jika kita tak mampu untuk ubah, mengapa kita perlu menyeru?

Kerja kita hanya usaha. Hasilnya kerja Allah. That's my point ^_^.

Pengalaman adalah guru buat kita. Mungkin jika kita hanya membaca ungkapan ini, kita memahami tetapi bilamana kita menghadapi situasi ini, kefahaman yang lebih mendalam dapat dikecapi. Dan saat itu baru kita sedar, ungkapan ini sangat bermakna.

Tak dapat dinafikan, sedih dan perit apabila ajakan kita ditolak. Terasa lemah apabila seruan kita tidak disahut. Semestinya ajakan itu kearah kebaikan, yang mampu memberi manfaat namun tidak disambut malah diabaikan. 

Satu perkara yang berada dalam minda saat mengajak mereka, aku tahu perkara itu baik dan bermanfaat buat aku dan ingin mereka sama-sama peroleh kebaikan tersebut, agar sama-sama dapat menuju Jannah. Kerana sayangkan mereka, maka aku ajak mereka bersama.

Tapi bila ditepis, atau diberi janji manis seakan menerima... sedih. 

Walaubagaimanapun, iman dalam hati kembali mengingatkan diri. Kita hanya mampu mengajak, yang menggerakkan hati mereka hanya Allah. Andai kehendakNya tidak, maka tidak. Andai kehendakNya ya, maka ya. 

Kerana itu, saya sebut perlu tekad yang tinggi. Jangan putus asa, jangan rasa jemu, jangan rasa ajakan itu sia-sia. Jika ajakan kearah kebaikan, tidak sekali kali ajakan itu menjadi sia-sia disisi Allah. Kerja kita hanya teruskan usaha, mendoakan mereka jika benar sayangkan mereka. Besangka baiklah, mungkin mereka masih teragak-agak. Jadi teruskan tugas kita untuk terus menyeru dan mengajak.  

Tabahlah duhai jiwa-jiwa yang kuat. Kerana kerja dakwah bukan kerja untuk mereka yang lembik, bukan kerja utuk mereka yang lemah, bukan kerja mudah. Hanya mereka yang sedar amanah ini terbeban diatas bahu mereka akan meneruskan kerja ini. Setiap orang punya kerenah yang berbeza, bersedialah untuk menghadapi dan mengatasi perkara-perkara tersebut dengan bijak. Jauhi emosi, bertindaklah dengan bijak.

Apa yang ingin diingatkan, kerja ini bukan untuk mereka yang dahagakan pujian dan penghargaan. Ikhlaskan hati. Kembalilah muhasabah, mungkin kerana diri kita sendiri seruan ditolak, ajakan diabaikan. Lihat semula hati, bersih atau penuh maksiat? Kita ingin menyentuh hati manusia, maka ajakan tersebut perlu hadir dari hati, Dari hati ke hati. 

Andai rasa lemah, singkaplah semula sirah nabawiyyah, Mudah-mudahan mampu mengembalikan semangat dan roh perjuangan dalam diri. 

Kita hanya mampu mengajak, menyeru. Hasilnya mengikut kehendak Allah. Besabarlah duhai jiwa-jiwa yang tabah.


Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat dan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

( Surah An-Nahl, ayaht 125)


No comments :

Post a Comment