PENGHARAP REDHA NYA
Semoga segala yang tercatat memberi manfaat.
Coretan dari hati untuk hati

Tinta Mujahadah

No comments


 Bismillahirrahmanirrahim...Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..
Hanya ingin berkongsi kisah, tiada yang menarik hakikatnya, cuma kagum dengan aturan Allah, jadi aku berhasrat untuk sematkan kisah ini. Tiada niat membangga diri kerana diakui terlalu banyak yang perlu diperbaiki. Semoga kisah ini menjadi pengajaran untuk sama-sama mengejar syurga Allah. Kerana syurga itu mahal, maka perlu mujahadah yang tinggi. Awak, awak dan awak.. kita tak banyak masa untuk bersenang lenang. Aku mulakan travelog ini dengan lafaz agung. Kerana travelog yang indah ini diatur dan disusun oleh Yang Maha Agung, Yang Maha Mengetahui dan yang sentiasa bersama aku dalam setiap langkah. 

Sungguh, aku sangat bersyukur kerana ditakdirkan untuk mengharungi perjalanan ini.  

Travelog ini bermula dengan niat yang satu, inshaa Allah. Hanya satu tekad dalam diri untuk berada di landasan yang benar dek kerana takut dengan alam selepas  tamat sekolah. Niat untuk tidak terkeluar dari suasana tarbiyah yang diterima semasa di sekolah. Niat hanya untuk memberi bakti selagi mampu, niat hanya untuk mengutip sebanyak mungkin ilmu walau dimana berada, ingin sekali menerima bimbingan menuju redha Allah. Orang kata, Jika ingin jadi baik maka berkawan dan masuklah dalam kalangan mereka yang baik.

Itu yang aku cari.

Maka bermulalah pencarian aku. Berbekalkan doa kepada Allah agar memandu aku sepanjang pencarian, takut tersilap. Sungguh hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik.

Usrah. Itu yang aku cari dan harapkan. Alhamdulillah, aku jumpa. Malah aku jumpa dua usrah. Namun aku memilih yang aku selesa...dengan harapan moga ini yang benar dan baik untuk aku teruskan.

Hari demi hari aku sertai mereka. Aku cuba untuk turut serta dalam semua program yang dianjurkan, semua usrah yang disediakan. Terus mencari dan menerima ibarat insan yang kehausan. Dahagakan majlis ilmu, dahagakan tarbiyah Illahi. Kerana aku tahu, iman tidak sentiasa diatas.. perlu bekalan. Dan bekalan itu perlu bimbingan dan dorongan. Lemah dorongan maka lemah iman. Saat yang paling digeruni dan dikesali pabila tiba. Maka dengan sebab itu..aku sediakan perisai agar tidak mati ditikam fitnah dunia. Nauzubillah...

Hampir setahun aku sertai mereka, aku bekerja bersama mereka, dan ditakdirkan aku ditaklifkan sebagai setiausaha organisasi. Satu amanah yang cukup untuk aku rasa dunia ini gelap. Aku takkan mampu. Namun begitu, tiada apa yang aku boleh lakukan selain meneruskan amanah yang diberikan. Belajar sedikit demi sedikit. Ibarat orang asing kerana bagi aku terlalu banyak yang aku perlu faham dan lakukan. Pernah rasa untuk meninggalkan semuanya, biarlah orang nak kata apa. Tapi tak pernah aku lakukan sedemikian. Kerana aku tahu ini amanah dari Allah, aku tahu hak-hak manusia yang perlu aku penuhi. Biar diri 'terlingkup', takkan mampu untuk aku memejam mata membiarkan insan lain terkorban kerana sikap mementingkan diriku. 

Teman seperjuangan sentiasa disisi. Sahabat yang sentiasa ada untuk memberi semangat dan dorongan. Bekerja bersama, ketawa bersama, menangis juga bersama. Manisnya ukhuwah yang terjalin. Di sini aku membina jati diriku, membina keyakinan yang sudah lama bersembunyi disebalik tabir ketakutan. Daripada seorang yang sangat gugup, sehingga menjadi seorang yang berani kehadapan, berani memberi pendapat, berani menguruskan. 

Proses belajar. Tak normal kalau tak pernah hadapi kegagalan. Entah berapa banyak makian yang aku terima kerana tersilap langkah. Entah berapa banyak air mata mengalir demi menjalankan sebuah tugasan. Namun hanya mampu tersenyum dihadapan mereka, percaya senyum itu pengubat duka. Hanya pada Allah aku memohon kekuatan. 

Bekerja dengan manusia, bermacam kerenah yang aku jumpa. Kami bermula dengan ramai, namun hari demi hari semakin bertambah rakan seperjuangan mengambil keputusan untuk meninggalkan. Sakit. Sedih. Kecewa. Sungguh tak dapat untuk aku nafikan rasa hati ketika melihat mereka melangkah pergi. Sedang aku menangis memaksa diri untuk meneruskan. Terasa diri dikhianati, terasa janji dimungkiri. Saat ini aku belajar untuk tidak bergantung harap pada makhluk bernama manusia, tetapi hanya pada Penciptanya...Allah. Namun aku tak salahkan mereka, mereka punya masalah tersendiri. Aku belajar untuk memanfaatkan ruang yang ada tanpa berharap pada teman. Ramai yang bersama aku, namun kerana silap diri, aku abaikan mereka. Bersyukur kerana Allah tetapkan hati aku dan mereka. Hanya doa yang mampu ku panjatkan agar terus diberi kekuatan.  

Sendiri. Pernah aku rasa sendiri kerana kehilangan teman. Kuliyah diteruskan tanpa seorang pun tahu masalah aku, biar Allah je tahu. Sehingga satu tahap aku jadi tawar hati. Masalah menyelubungi diri, fokusku hilang. Bergerak bagaikan mayat hidup. Habis kuliyah, terus ketempat lain untuk menguruskan urusan-urusan yang tak selesai. Setiap hari rutin ku begitu. Setiap hujung minggu aku hilang dari bilik, mengurus program sana sini. Kadang aku cemburu dengan rakan sekelas yang hanya menumpukan pada pelajaran. Siang belajar, malam ulang kaji. Aku kecundang untuk semesta pertama memegang jawatan. Result aku jatuh menjunam, sekali dengan aku jatuh. Umi Ayah memberi amaran dan menggesa aku untuk meletak jawatan dengan segera. Diam seribu bahasa. Terasa diri sudah menjadi fitnah pada amal kebajikan ini. Kerana gagal menyusun masa dengan baik. Aku mengambil keputusan untuk tetap dan meminta mereka satu lagi peluang untuk aku buktikan pada semesta akan datang.

Benarlah ujian Allah itu hakikatnya mengikut kemampuan hambaNya. Betapa Allah sayang akan kita.

Alhamdulillah... Allah sentiasa bersama dengan hambaNya yang bersabar dan punya tekad yang kuat. Kita bantu agama Allah, Allah bantu kita. Itu yang aku pegang. Aku belajar mengurus masa, mengurus diri dengan lebih teratur. Dan aku berjaya buktikan pada mereka. Syukur alhamdulillah.

Tidak, aku tak akan tinggalkan keluarga ini. Keluarga yang telah banyak mengajar aku erti kehidupan yang sebenar. Aku sedar, walaupun penat tetapi aku gembira. Gembira dengan bakti yang diberi. Gembira memberi jasa, Terasa dapat memberi manfaat pada semua. Dan hakikatnya manfaat untuk diri aku tak terkira banyaknya. Mata yang bengkak menangis diganti dengan senyuman kepuasan dan kelapangan hati. Dunia tempat berlelah, akhirat tempat berehat. In shaa Allah, moga istiqomah. 

Sampai di penghujung, bakal tiba masa untuk aku bergerak sendiri tanpa bimbingan penuh daripada senior yang selama ini memberi tunjuk ajar yang sangat banyak. Takut, bimbang. 

Pesan mereka,

"Satu masa kami berada diluar lingkungan.. yang kami mampu pemerhatian dan memahat nasihat dengan niat semua tersemat... 

cari azimat disebalik hikmat yang tersirat.. bukan sekadar melihat dan berhajat tetapi perlu langkah selamat. 

Garis2 besar haluan perjuangan... bukan mudah membangun ummat... segalanya perlu diteliti... 

kadang-kadang sendri agar yg lain mengerti, bukan memaksa diri tp cari ruang berbakti, takut-takut lama berhenti satu masa nanti.. 

teruskan niat dihati selagi punya matlamat untuk ditelusuri. 

Penat mungkin dilazimi tapi kenikmatan dikecapi tatkala melihat orang lain tersenyum dan beri nafas baru dalam realiti bukan lagi igauan ngeri dek kerana ketakutan sndiri pd yg tak pasti"

nasihat panjang yang diterima.

Perjalanan masih jauh, masih banyak yang perlu dibaik pulih. Sedarlah kita daripada lena yang panjang sebelum kita benar-benar ditakdirkan untuk lena sepanjang hayat. Carilah cinta Allah sebelum kau menagih cinta manusia. Berilah bakti demi masa depan dan kebahagiaan di akhirat kelak sebelum kau sibuk mengejar kebahagian di dunia. Bersiap sedialah dengan bekalan untuk bertemu Allah, takut-takut jodoh mu dengan kematian datang menjengah dahulu. Di awal usia remaja ini, nikmatilah ia, penuhkan ilmu didada, berkhidmatlah selagi punya kudrat. 

Ini cebisan dari kisah aku, Travelog aku. Perjalanan aku yang banyak cacat celanya namun cukup memberi seribu satu pengajaran kepada diri. Hanya perkongsian dengan harapan memberi kesedaran. Juga sebagai muhasabah saat nanti aku hampir rebah. Dan moga menjadi dorongan untuk semua andai satu hari nanti aku bertemu Illahi.

Kau, aku, kita daie. Tingkatkan diri, agar mampu membawa ummah bersama mengiringi, berjumpa di syurga Illahi.

Moga Allah Redha...

No comments :

Post a Comment