PENGHARAP REDHA NYA
Semoga segala yang tercatat memberi manfaat.
Coretan dari hati untuk hati

Kemana Pengakhiran kita?

No comments


“ Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya. Kalaulah mereka mengetahui.”
 ( Surah al-Ankabut : 64 )

Allah menerangkan di dalam kalamnya bahawa dunia ini ibarat permainan, ibarat hiburan yang pastinya sementara dan akhirat sana adalah kehidupan kita yang sebenar-benarnya. Di akhir ayat, Allah menyebut, kalaulah mereka mengetahui. Ayat ini menunjukkan betapa hakikatnya manusia itu tahu namun seringkali terlupa hanya kerana kenikmatan dunia yang sementara dirasakan seolah-olah selamanya. Bermulanya kita pasti ada pengakhirannya, sama ada pengakhiran yang baik atau pengakhiran yang buruk? Jika bermulanya kita tanpa memikirkan dan merancang pengakiran kita, adakah kita yakin pengakhiran yang baik yang akan kita temui nanti? Yakinkah kita syurga yang menanti kita di akhirat nanti?

Syurga dipagari dengan perkara yang tidak disukai, manakala neraka dipagari dengan keseronokan syahwat. Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata :
“ Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal”

Saidina Ali menyebut bahawa kebaikan yang kita lakukan akan terus kekal sama ada manfaatnya kepada orang lain akan kekal dan pahalanya akan kekal sehingga diakhirat kelak. 

Saya bawakan satu kisah yang berlaku ketika perang Qadisiyah. Sa’ad bin Abi Waqqas memerintahkan Rabi’ bin Amir untuk menghadap Rustum, panglima perang Parsi. Rustum bertanya kepada Rabi’ tentang tujuan kedatangan pasukan Islam ke negaranya. Dengan lantang Rabi’ menjawab, “Kami datang untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah. Kami ingin membebaskan manusia dari dunia yang sempit menuju akhirat yang luas serta daripada kezaliman kepada Islam”.

Namun, realiti sekarang menunjukkan walaupun kita tidak ditawan oleh pemerintah yang zalim, tetapi kita telah ditawan oleh kecintaan dunia dan penghambaan kepada dunia. Kita terperangkap dalam kesesakan dunia yang memaksa untuk meninggalkan dan memikirkan kenikmatan apa yang akan kita peroleh di akhir nanti. Umat sendiri semakin alpa dengan kenikmatan dunia yang sementara sehingga melupakan kenikmatan syurga yang kekal abadi.

Mengapa Perlu Merancang Pengakhiran?

Kita hakikatnya warganegara akhirat, bukan dunia. Kerana dunia diciptakan untuk manusia tetapi manusia diciptakan untuk akhirat. Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang hakiki dan abadi. Sedarlah bahawa kita mempunyai kehidupan yang pertama dan kehidupan yang kedua. Kehidupan yang pertama adalah di dunia manakala kehidupan kedua adalah di akhirat sana. Bagaimana kita hanya mementingkan kenikmatan dalam kehidupan pertama dan lupa untuk merancang dan memikirkan kehidupan yang kedua?

Dunia ibarat jambatan yang menuju samada ke syurga ataupun neraka. Kehidupan pula ibarat perjalanan kita diatas jambatan tersebut. Setiap langkah yang kita lakukan dalam perjalanan yang tiada henti ini, semaki kita mendekati destinasi terakhir. Namun kita tidak diberi pengetahuan sampai bila kaki kita akan terus melangkah. Setiap manusia Allah tetapkan garis penamatnya, garis penamat yang kita tidak tahu dimana. Apabila kita berada dalam perjalanan, pastinya dihujung menenati destinasi yang ingin kita tuju. Namun yakinkah kita destinasi itu adalah syurga bukan neraka? Jika tiada bekalan yang disediakan daripada sekarang, bagaimana destinasi kita kelak? Yang menjadi kayu ukurnya adalah keimanan dalam hati dan amalan bagi setiap anggota kita.

Kerana itulah, dunia ini tempat untuk kita banyak-banyak mengumpul pahala dan melakukan amal soleh.  Manakala mereka yang tidak yakin adanya hari kebangkitan akan mensia-siakan masa yang ada dengan melakukan berbagai kemaksiatan kepada Allah. Dunia yang asalnya tempat untuk mengumpul bekalan pahala, dijadikan tempat untuk menjana seberapa banyak dosa. Na’uzubillah, semoga kita dijauhkan daripada mereka yang mensia-siakan kehidupan.

Ibaratnya seperti kita ingin melancong ke luar Negara. Pasti kita akan membawa barang keperluan secukupnya sebagai persediaan ke sana. Sekiranya kita tahu disana sedang menghadapi musim sejuk, maka kita akan bersedia dengan baju sejuk. Sekiranya kita tahu mata wang di sana menggunakan mata wang dollar, kita akan membuat persediaan awal untuk menukar dahulu wang tempatan sebelum sampai kesana. Begitulah ibaratnya kehidupan di dunia yang hanya sebagai tempat persinggahan sebentar, tempat lawatan sebentar. Pakaiannya adalah taqwa dan mata wangnya adalah pahala. Firman Allah dalam surah Al-Dhuha, ayat 4:
            “ Dan akhirat itu lebih baik bagimu (wahai Muhammad) daripada dunia”

Hakikatnya, semua agama percaya kepada kehidupan akhirat atau kebangkitan semula. Agama Hindhu percaya bahawa mereka perlu mencapai mokhsha untuk keluar daripada dunia dan mendapat kenikmatan kemudian, agama Buddha pula percaya bahawa mereka perlu mencapai nirvana sebagai penyatuan dengan Tuhan mereka. Begitu juga agama Nasrani dan Yahudi, mereka juga mempercayai kehidupan di akhirat. Mengapa ini semua berlaku? Kerana fitrah manusia inginkan keadilan yang mutlak namun keadilan ini tiada di dunia. Seringkali yang salah di pandang baik dan yang betul di pandang  buruk. Jika kita telusuri sejarah dahulu, kita dapat lihat peristiwa-peristiwa yang tragis berlaku tanpa keadilan. Berapa ramai manusia yang telah ditindas namun tiada pembelaan terhadap mereka? Berapa ramai umat islam, tokoh-tokoh ilmuwan islam yang telah dibunuh dengan kejam oleh orang kafir namun tiada penghukuman dikenakan keatas mereka?

Atas sebab ini, manusia tidak puas dengan hakikat kejadian yang berlaku seterusnya mengharapkan kehidupan kedua yang membawa keadilan yang sebenarnya. Timbul pelbagai persoalan dalam minda manusia, mengapa Allah tak menegakkan keadilan di dunia? Mengapa orang yang mungkar tidak mendapat pembalasan yang segera? Mengapa orang yang baik tidak mendapat ganjaran segera? Mengapa perlunya segala penangguhan ini? Namun sebagai seorang hamba, siapa kita ingin mempersoalkan segala ketentuan Allah. Mungkin bagi kepercayaan lain, mereka sungguh-sungguh merasai semua yang berlaku tidak sepatutnya berlaku, tetapi bagi kita umat islam kita yakin bahawa setiap yang berlaku terselindung seribu satu hikmah. Kehidupan kita bukan untuk di dunia semata, tetapi untuk diakhirat sana. Firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 42-43:
“ Dan janganlah engkau menyangka bahawa Allah lalai daripada perbuatan orang yang zalim, mereka Cuma ditakhirkan (diberi penangguhan) sampai kepada hari yang padanya terbeliak kaku pandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongak kepala mereka dengan mata yang tak berkelip dan hati mereka kosong”

Korbankan Kenikmatan Sementara

Apabila kita yakin pembalasan Allah akan datang di akhirat nanti, kita akan terdorong untuk terus melakukan kebaikan walau dibenci, ditindas diatas dunia yang sementara ini. Untuk kenikmatan yang kekal abadi, kita sanggup korbankan kenikmatan yang sementara.  Firman Allah dalam surah Al-Muzammil, ayat 20:
“ Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasannya) di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya”

Kehidupan di dunia kadang kala memaksa kita untuk melakukan kemungkaran kepada Allah. Pengaruh buruk yang semakin berlelusa, penindasan yang dilakukan keatas orang yang berkata benar dan banyak lagi. Namun sekiranya kita yakin ada ganjaran dan habuan yang akan kita peroleh di akhirat nanti, kita akan dapat meninggalkan pandangan manusia di dunia dan hanya mementingkan pandangan Allah. Daripada Ibnu Umar r.a. beliau berkata, bahawa Rasulullah memegang belakang beliau lalu bersabda:
“Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara”. Lalu Ibnu Umar r.a. berkata : “Jika engkau telah berada di waktu petang, maka janganlah dinantikan waktu pagi. Jika enkau berada di waktu pagi, maka janganlah dinantikan waktu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakit dan waktu hidupmu sebelum mati”
( Riwayat Al-Bukhari no. 6416 dan Al-Tarmizi no. 2333)

Hadis ini mencakupi pelbagai jenis kebaikan dan nasihat. Kandungan hadis ini sebagai tapak untuk tidak terlena di dunia kerana setiap muslim tidak sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang kekal abadi. Imam Abdul Hasan ‘Ali bin Khalaf dalam Syarah Bukhari berkata bahawa Abu Zinad berkata: “ Hadis ini bermakna menganjurkan agar sedikit bergaul dan sedikit berkumpul dengan orang-orang awam serta bersikap zuhud kepada dunia”. Gunakanlah kesempatan hidup ini untuk berbakti kepada Allah. Biar banyak rintangannya, jerih payahnya, kerana syurga itu mahal dan perlukan kesungguhan untuk mendapatkannya.

Tanda-tanda Menjadi Hamba Dunia

Tanpa kita sedar, kadang-kala kita telahpun menjadi hamba kepada dunia. Tingkah laku kita seharianlah yang menjadi bukti perhambaan kita. Kerana yang menjadi perbezaan kita adalah taqwa dan keimanan dalam hati. Taqwa dan imanlah yang akan mempengaruhi segala perilaku kita, segala gerak hati kita. Antara tanda-tanda kita sudah menjadi hamba kepada dunia adalah:
1. Kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak ada masa untuk membuka helaian al-Quran dan mentadabbur ayat-ayat cinta Allah.
2. Hilang rasa bersalah sekiranya kita melakukan dosa-dosa kecil. Terlalu memikirkan dosa sehingga kita lupa bahawa matlamat hidup ini adalah untuk mencapai redha Allah, tak kiralah dosan kecil atau dosa besar.
3. Yakin bahwa mati dan kiamat masih lambat dan masih punya banyak masa untuk bertaubat. Kita terlalu sibuk memikirkan tanda-tanda kiamat sehingga terlalu yakin bahawa selagi tanda-tanda ini belum tiba, nyawa kita masih panjang. Taubat ditangguh-tangguh.
4. Solat yang tergesa-gesa untuk segera melakukan urusan dunia. Menganggap solat itu hanya pergerakan solat, bukan pertemuan dengan Allah. Sedang orang yang beriman akan rasa tidak sabar-sabar untuk bertemu dan berdialog dengan kekasih hati di dalam solat.

Dunia umpama tempat membayar, akhirat umpama tempat berseronok. Sesungguhnya nikmat dunia tidak akan tercapai akal dan imaginasi, kata-kata atau apa sahaja yang dapat dijangkau oleh pancaindera manusia. Syurga lebih indah dan nikmat daripada apa yang boleh kita bayangkan. Oleh sebab itu, mereka yang benar-benar meyakini dan menginginkannya dan memandang ringan penderitaan dunia demi meraihnya. Kemanakah pengakhiran kita? Kita yang memilih dan kita jugalah yang mampu berfikir mana yang terbaik untuk kita kejar, syurga atau neraka. 

Wallahua’lam.






No comments :

Post a Comment